Salahuddin nafi keluar kenyataan beri peluang kaum Cina tadbir negara

Poster yang tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Poster yang tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menafikan dakwaan kononnya beliau mengatakan bahawa kaum Cina harus diberi peluang untuk mentadbir negara.

Menerusi satu kenyataan di sini hari ini, beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Menurutnya, kenyataan tersebut adalah berniat jahat dan merupakan fitnah terhadap beliau.

"Beberapa pengguna Facebook yang telah dikenal pasti sengaja menyebarkan kenyataan palsu tersebut.

"Pada tahun 2017, saya cuma menyatakan bahawa Melayu Singapura telah muncul cemerlang dalam pelbagai sektor utama dan telah mengucapkan tahniah kepada Halimah Yacob kerana diangkat sebagai presiden Melayu kedua serta wanita pertama republik itu," katanya.

Justeru beliau berkata, berdasarkan nasihat daripada peguam, tindakan undang-undang akan diambil terhadap beberapa pengguna Facebook berkenaan.

Sebelum ini tular poster yang mendakwa Salahuddin mengatakan 'Singapura memberikan kita contoh terbaik. Jika Melayu minoriti boleh menjadi presiden Singapura, mengapa tidak kita beri peluang bangsa Cina harus diberi peluang untuk mentadbir negara'.

Penularan poster berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Artikel Berkaitan: