Empat warga asing ditahan, peniaga wanita dikompaun

Anggota penguatkuasa MPHTJ meletakkan kompaun di kenderaan wanita terbabit ketika operasi bersepadu di Pasar Borong MPHTJ Batu Berendam di sini hari ini.
Anggota penguatkuasa MPHTJ meletakkan kompaun di kenderaan wanita terbabit ketika operasi bersepadu di Pasar Borong MPHTJ Batu Berendam di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seramai empat warga asing berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka di Pasar Borong Majlis Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Batu Berendam di sini hari ini.

Dalam operasi bersepadu yang diketuai Setiausaha MPHTJ, Afzai Nizam Sandiman, dua daripada mereka yang ditahan merupakan warga Bangladesh, seorang Myanmar dan Indonesia kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Afzai Nizam berkata, seramai 26 warga asing diperiksa dalam operasi tersebut.

"Ini merupakan salah satu operasi yang sering kita lakukan bagi memastikan setiap perniagaan mematuhi arahan ditetapkan," katanya.

Katanya, semasa operasi dilakukan, seorang peniaga wanita dikompaun kerana meletakkan kenderaan dalam kawasan pagar.

Peniaga yang enggan dikenali berkata, individu yang turut berniaga di dalam pasar terbabit sering ditegur supaya meletakkan kenderaan di luar agar tidak menghalang peniaga lain untuk berniaga, namun tidak diendahkan.

"Sudah lama perkara ini berlaku dan kami juga banyak kali kami tegur namun tidak dihiraukan.

"Kompaun yang dikenakan diharap dapat memberi pengajaran supaya lebih bertimbang rasa dan tidak mementingkan diri sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Afzai Nizam, sebanyak 12 kompaun dikeluarkan pihaknya dan daripada jumlah itu, 10 kompaun membabitkan kenderaan seperti kereta dan motosikal kerana meletakkan kenderaan dalam kawasan pasar.

"Dua kompaun lagi melibatkan syarikat penjaga tapak letak kenderaan kerana tidak mempamerkan lesen dan membenarkan kenderaan selain lori masuk ke dalam kawasan pasar," katanya.

Dalam operasi itu itu Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka turut mengeluarkan sebanyak 10 kompaun pelbagai kesalahan termasuk tamat tempoh cukai jalan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987) manakala Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan tiga notis kesalahan kerana tidak mempamerkan lesen serta tanda nama perniagaan.

Operasi turut disertai agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, SSM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka dengan jumlah keseluruhan 72 orang anggota penguat kuasa dan pegawai.