Lebih 80 peratus pinjaman Tabung Usahawan Perak belum diagih

Asmuni (duduk tengah) bersama sebahagian penerima cek pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak semalam.
Asmuni (duduk tengah) bersama sebahagian penerima cek pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak semalam.
A
A
A

IPOH - Lebih 80 peratus daripada jumlah peruntukan di bawah program Tabung Usahawan Yayasan Perak bernilai RM5 juta masih belum diagihkan sejak dilancarkan Mac lalu.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, setakat ini hanya RM730,500 pinjaman diluluskan melibatkan 60 usahawan.

Menurutnya, jumlah itu adalah kecil berbanding peruntukan besar yang disediakan kerajaan negeri bagi mengupayakan golongan usahawan muda dan peniaga yang berpendapatan rendah (B40).

"Pinjaman perniagaan diberi tanpa dikenakan sebarang faedah. Jika RM100,000 yang diluluskan, maka peniaga juga hanya perlu memulangkan pinjaman dengan jumlah RM100,000 juga.

"Oleh kerana peruntukan ini perlu dihabiskan tahun ini juga, kita sedang berusaha untuk mempercepatkan setiap peringkat kelulusan.

"Setakat ini terdapat 80 permohonan yang sedang diproses dan 189 lagi melibatkan permohonan baru," katanya pada sidang media sempena majlis penyerahan cek pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak di Pusat Pembangunan Usahawan (PPU) Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Bandar Meru semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Yayasan Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

Dalam majlis itu, seramai 43 usahawan melibatkan jumlah keseluruhan RM652,000 menerima cek pinjaman masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Ia merupakan serahan bagi fasa kedua dan ketiga selepas fasa pertama pada Jun lalu, melibatkan pinjaman sebanyak RM78,500 kepada 17 penerima.

Mengulas lanjut, Asmuni yang juga Pengerusi Yayasan Perak berkata, tabung berkenaan sebelum ini diuruskan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan mula diambil alih Yayasan Perak selepas kerajaan baharu ditubuhkan.

Katanya, Yayasan Perak yang diletakkan di bawah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (Super) berperanan membangunkan usahawan negeri ini merangkumi pelbagai jenis perniagaan antaranya penternakan ikan, pemborong produk makanan, percetakan, penjualan bekalan bahan binaan dan restoran makanan dengan kadar kelulusan pinjaman mencecah RM100,000 seorang.

"Setiap hari ada sahaja permohonan baru diterima kerana ia dibuka secara atas talian.

"Kelewatan yang berlaku sebenarnya disebabkan kita baru ambil alih, jadi kita ketiadaan kakitangan dan terpaksa mengambil staf yang baru, borang pun tiada, maknanya kita bermula dari kosong, justeru hendak memulakan itu mengambil masa sedikit," katanya.