Lelaki gagal larikan beg pemandu lori ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cubaan seorang lelaki melarikan beg sandang milik seorang pemandu lori yang sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak gagal setelah berjaya diberkas orang awam dekat Ulu Tiram di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, suspek yang merupakan warga tempatan dan berusia 39 tahun itu ditahan orang ramai pada jam 7.45 pagi.

“Mangsa yang berumur 37 tahun itu mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali turun dari lori berkenaan dengan memegang beg sandang miliknya.

“Mangsa dan beberapa orang awam di stesen minyak berkenaan kemudiannya sempat mengejar suspek dan berjaya menahannya,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah beg sandang mengandungi dompet milik pemandu lori berkenaan dan sebuah motosikal jenis Honda Wave 125 yang dipercayai dipandu suspek semasa kejadian.

“Hasil semakan mendapati motosikal berkenaan turut dilaporkan hilang di sekitar kawasan Ulu Tiram pada Jun lepas,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga didapati mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah iaitu di bawah Sesyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, permohonan reman akan buat esok dan kes disiasat di bawah Sesyen 379 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, beberapa gambar seorang lelaki dipercayai suspek yang menaiki sebuah motosikal, ditahan orang awam di sebuah stesen minyak tular di laman sosial Facebook. - Bernama