Kerajaan Selangor digesa sediakan penempatan transit: Ismail Sabri

Ismail Sabri (dua dari kanan) bertanya keadaan penduduk yang tinggal dalam khemah sejak rumah mereka dirobohkan semalam.
Ismail Sabri (dua dari kanan) bertanya keadaan penduduk yang tinggal dalam khemah sejak rumah mereka dirobohkan semalam.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Kerajaan Selangor digesa menyediakan penempatan transit kepada penduduk yang rumahnya dirobohkan berhampiran Sungai Kedondong Paya Jaras di sini semalam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berharap kerajaan negeri melayan penduduk yang terjejas seperti manusia kerana ada di antara mereka terpaksa bermalam di khemah terbuka sejak rumahnya dirobohkan semalam.

"Mereka tetap manusia walaupun berstatus penduduk tetap (PR) atau bukan warganegara. Jika kerajaan Malaysia boleh ke Rohingya, Palestin malah ke Indonesia ketika mereka ditimpa bencana ini pula dalam negara sendiri. Ini tanggungjawab kita.

"Layanan perlu diberi secara adil kepada semua pihak tanpa kira perbezaan parti atau statusnya. Yang penting mereka adalah manusia, anak-anak mereka tidak berdosa, mereka berhak diberi layanan yang sama seperti manusia.

" Jangan biarkan mereka terdedah kepada udara tidak sihat terlalu lama. Sekolah ditutup tapi mereka tidur di tempat terbuka. Saya terima maklumat ada anak-anak kecil yang mulai selesema disebabkan tidur dalam khemah," katanya.

Beliau bersama pimpinan UMNO termasuk Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar ke lokasi penempatan mangsa di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, khidmat peguam bakal disediakan bagi membantu penduduk yang ada di antaranya mendakwa mempunyai geran, tetapi tidak diberikan pampasan setimpal.

"Saya sifatkan tindakan kerajaan negeri ini sebagai zalim, tidak berperikemanusiaan dan tidak sepatutnya berlaku pada zaman ini. Apabila ada rundingan, kita beranggapan notis yang dikeluarkan sebelum ini adalah tidak boleh diguna pakai.

Artikel Berkaitan:

"Jika nak roboh pun kita kena sediakan tempat dulu untuk mereka pindah seperti dilakukan ketika zaman Barisan Nasional (BN). Yang saya kata zalim bila rumah ditolak, mereka tiada tempat tinggal, terpaksa duduk bawah khemah dan tak tahu berapa lama mereka perlu duduk bawah khemah ini," katanya.

Semalam, sebanyak 36 rumah dirobohkan sementara sembilan unit ditangguhkan sehingga 10 Oktober ini bagi memberi laluan kepada anak-anak menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK).

Sementara itu Mohd Khairuddin memaklumkan operasi perobohan rumah yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat.

Jelasnya, pelaksanaan perobohan itu telah dirancang sejak tahun 2008 lagi dan penduduk terlibat telah menerima notis pertama sejak tahun 2015.