Guna kamera badan pada pegawai elak salah laku: Tun M

Dr Mahathir berucap pada sidang media sempena Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai anti-rasuah (JKKMAR) di Putrajaya. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Dr Mahathir berucap pada sidang media sempena Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai anti-rasuah (JKKMAR) di Putrajaya. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Anggota polis, Jabatan Kastam Diraja dan Jabatan Imigresen Malaysia akan dilengkapi dengan kamera badan dalam usaha kerajaan mengekang kebocoran hasil negara di pintu masuk.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negara mengalami kebocoran hasil di pintu keluar masuk antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun akibat masalah integriti pegawai dan kekurangan peralatan teknologi terkini.

"Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju dengan cadangan untuk memasang kamera badan pada anggota yang bertugas.

"Mereka (anggota penguatkuasa) tidak boleh off (tutup) kamera tersebut kerana kita tahu," katanya.

Menurutnya, cadangan itu akan diberikan keutamaan dalam belanjawan bagi tahun 2020.

"Tiada sebarang bajet tertentu ditetapkan tetapi ia akan dilaksanakan apabila kerajaan mempunyai sumber kewangan mencukupi," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) kali ke-10 bagi memperkasakan kecekapan dan ketelusan pasukan penguatkuasa di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Dr Mahathir berkata, penggunaan kamera badan membolehkan setiap perbuatan serta percakapan anggota penguatkuasa dan pelanggannya dirakamkan.

Artikel Berkaitan:

"Ini sekali gus dapat mengelak dakwaan salah laku terhadap anggota dan pegawai terbabit," katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir mengakui masalah rasuah masih lagi tidak dapat dikurangkan kerana masih ada laporan berhubung kes rasuah yang memerlukan kaji selidik selanjutnya dijalankan.

“Ini bagi membolehkan kerajaan menentukan di mana kurangnya langkah pencegahan sedia ada supaya kita dapat meningkatkan tindakan perlu diambil bagi menangani rasuah,” katanya.

Selain itu, kerajaan akan mewujudkan pusat kawalan setempat, pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di lokap, penjara dan menambah mesin pengimbas berteknologi kecerdasan buatan (AI) serta alat bantu operasi (ABO).

"Ianya selaras untuk menjadikan pasukan keselamatan khususnya polis sebagai pasukan dihormati dan disegani," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak akan membuat pengambilan kakitangan awam baharu berikutan jumlah penjawat awam mencecah 1.7 juta.

"Kerajaan akan melaksanakan pergerakan kakitangan awam ke tempat yang lebih penting dalam usaha memenuhi keperluan agensi penguatkuasa yang memerlukan tambahan anggota berikutan kemasukan ramai pelancong dan buruh asing ke dalam negara," katanya.