Masjid Seri Melati mohon henti spekulasi kes cubaan culik

No Image Caption
A
A
A

GOMBAK - Jawatankuasa Masjid Seri Melati memohon orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berhubung penularan rakaman video cubaan culik seorang kanak-kanak yang didakwa berlaku di masjid berkenaan, Jumaat lalu.

Timbalan Nazir Masjid Seri Melati, Muhammad Syahdan Shamsudin berkata, kejadian berlaku pada jam 11 pagi di koridor aras bawah bangunan masjid ketika kursus guru-guru tadika Islam di Dewan Utama.

Katanya, individu yang melakukan perbuatan tersebut adalah seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mualaf yang merupakan gelandangan.

Menurutnya lelaki terbabit sering berjalan kaki dan berkeliaran di sekitar Selayang Jaya dengan meminta duit untuk makan kepada sesiapa yang ditemuinya.

"Pihak masjid mohon supaya sebarang spekulasi berkenaan penularan video ini dihentikan. Saya juga minta kenyataan tular yang mengatakan 'cubaan menculik' diteliti semula kerana ia boleh jadi punca jemaah takut untuk ke masjid.

"Namun begitu, perbuatan 'body contact' yang dibuat boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah," katanya menerusi status dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi masjid itu.

Muhammad Syahdan berkata, video rakaman CCTV itu diserah kepada pihak berkenaan sebelum ini setelah jawatankuasa masjid menerima laporan kejadian daripada jemaah dan ia hanya untuk dijadikan bukti laporan kepada pihak polis.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebelum ini pihak masjid sentiasa meningatkan jemaah berkeluarga mengawasi anak masing-masing.

"Pihak masjid juga sediakan kemudahan kelas pengajian Iqra untuk kanak-kanak pada hujung minggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad) selepas waktu Maghrib untuk keselesaan jemaah yang berkeluarga," katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 39 saat berkenaan cubaan menculik seorang kanak- kanak perempuan di dalam bangunan masjid.

Rakaman menunjukkan kanak-kanak perempuan itu berada berhampiran sinki dan bergerak mahu masuk ke ruang solat sebelum disentuh seorang lelaki menarik dan menutup mulut kanak-kanak dipercayai lingkungan 7 tahun.

Bagaimanapun, seorang wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak itu yang melihat kejadian terus menarik mangsa.

Suspek bagaimanapun tidak terus lari dari lokasi sebaliknya berdiri di tempat kejadian cuba menerangkan keadaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Bagaimanapun katanya, ia bukan melibatkan cubaan culik sebagaimana tular di media sosial.