Pemadaman kebakaran hutan menerusi pesawat Bombardier ditangguhkan

Pesawat Bombardier -Foto Bernama
Pesawat Bombardier -Foto Bernama
A
A
A

SRI AMAN - Operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah gambut menggunakan pesawat Bombadier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kampung STC di sini terpaksa ditangguhkan kerana terdapat beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan.

Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, faktor air sungai yang surut dan terdapat halangan di sungai seperti aktiviti memukat dan perahu yang lalu lalang menyebabkan pesawat tidak boleh terbang rendah untuk menyedut air.

“Selain itu, jangka waktu penerbangan pesawat berkenaan juga sudah mencapai hadnya dan memerlukan penyelenggaraan sebelum kembali beroperasi.

“Operasi akan diteruskan setelah kawasan sungai benar-benar bebas daripada semua halangan itu dan pesawat berkenaan bersedia untuk terbang,” katanya.

Tinjauan di lokasi itu mendapati sebuah pesawat Bombardier yang berlegar-legar di kawasan terjejas namun tiada sebarang semburan air dilakukan.

Selepas diberitakan pembatalan operasi menggunakan pesawat itu, anggota bomba dan penyelamat yang di tempat kejadian meneruskan kembali usaha memadamkan api dengan kekuatan 15 anggota dalam satu syif. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu sederhana hingga tebal di beberapa kawasan: MetMalaysia

Artikel Berkaitan: