Jerebu sederhana hingga tebal di beberapa kawasan: MetMalaysia

Pemandangan di sekitar Johan Setia yang terjejas akibat jerebu ketika tinjauan hari ini. -Foto Bernama
Pemandangan di sekitar Johan Setia yang terjejas akibat jerebu ketika tinjauan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan pergerakan asap jerebu merentasi sempadan dan tempatan berkemungkinan menyebabkan keadaan cuaca jerebu sederhana sehingga tebal di beberapa kawasan di Malaysia antara 17 sehingga 19 September.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini, berdasarkan Laporan Pergerakan Asap Jerebu oleh MetMalaysia pada 3 petang semalam, situasi itu akan mempengaruhi jarak ketampakan di kawasan seperti seluruh Sarawak, pantai barat Semenanjung dan timur Sabah iaitu Tawau dan Sandakan.

Menurut Laporan Jabatan Alam Sekitar pada jam 8 pagi tadi, terdapat 34 kawasan menunjukkan kualiti udara tidak sihat dan lapan kawasan menunjukkan bacaan sangat tidak sihat.

Sehingga jam 8 pagi tadi, sejumlah 553 sekolah ditutup melibatkan 312,337 pelajar.

Nadma berkata, Kabinet akan membincangkan dan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya yang boleh diambil berkaitan masalah jerebu yang melanda seluruh negara pada mesyuarat Kabinet hari ini.

Kerajaan juga menurut Nadma sudah menghubungi Indonesia secara rasmi melalui Kementerian Luar berhubung isu jerebu.

Berdasarkan maklumat daripada Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia sehingga 14 September, kawasan seluas 328,724 hektar telah terjejas dengan kebakaran hutan di Indonesia.

Menurut Nadma, antara tindakan yang telah diambil Indonesia ialah meningkatkan pemantauan terhadap titik panas, jarak ketampakan, kualiti udara dan kewujudan asap.

Artikel Berkaitan:

Indonesia juga telah melakukan operasi pembenihan awan (OPA) atau Operasi Teknologi Modifikasi Cuaca (TMC) di enam wilayah – Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Nadma berkata, darurat bencana jerebu hanya dibuat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: Dua masalah hantui penduduk Sri Aman