Jerebu: Enam pesawat berpatah balik, dilencongkan

Pesawat Firefly melakukan rutin penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dalam keadaan jerebu yang melanda hari ini. - Foto Bernama
A
A

GEORGETOWN - Keadaan jerebu yang semakin teruk melanda Pulau Pinang menyebabkan enam pesawat yang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) terpaksa berpatah balik dan melencong ke lapangan terbang lain.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pengurusan LTAPP mengenai perkara itu dan enam penerbangan terbabit termasuk penerbangan Lion Air JT132, Sektor Kualanamu, Medan yang dijadualkan mendarat pada jam 9.40 pagi tadi.

Menurutnya, disebabkan keadaan jerebu yang semakin teruk dan jarak penglihatan yang terjejas, pesawat berkenaan terpaksa berpatah balik ke Kualanamu.

"Turut diarahkan berpatah balik penerbangan kargo UPS 5X 147 dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang yang dijangka mendarat pada jam 10 pagi.

"Penerbangan Silk Air MI346 sektor Singapura-Pulau Pinang yang dijadualkan mendarat di negeri ini terpaksa dilencongkan ke Kualanamu, Medan," katanya pada sidang media di sini tadi.

Kon Yoew berkata, penerbangan kargo FEDEX FX6159 dari Bangkok ke Pulau Pinang juga terpaksa dilencongkan ke Kuala Lumpur.

"Selain itu, penerbangan AirAsia AK5433 dari Kuching ke Pulau Pinang yang dijadualkan mendarat jam 11.55 pagi dilencongkan ke Langkawi manakala penerbangan AirAsia AK6122 dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang turut dilencongkan ke lapangan terbang yang sama," katanya.

Kon Yeow
Kon Yeow

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pihak LTAPP sedang bekerjasama dengan pengawal trafik udara dan semua syarikat penerbangan bagi memaklumkan kepada orang ramai perkembangan penerbangan terkini.

Katanya, pusat gerakan kecemasan telah dibuka di Bayan Lepas untuk menangani masalah yang berlaku akibat jerebu.

"Kita berharap dalam tempoh Pulau Pinang terjejas akibat jerebu ini, semua pihak perlu tenang menghadapi masalah ini dan selalu mengikuti perkembangan serta pengumuman rasmi.

"Berhati-hati dalam perjalanan dan menjaga kesihatan diri," katanya.

Keadaan jerebu semakin teruk di Pulau Pinang menyebabkan enam pesawat terpaksa berpatah balik dan dilencongkan ke lapangan terbang lain.
Keadaan jerebu semakin teruk di Pulau Pinang menyebabkan enam pesawat terpaksa berpatah balik dan dilencongkan ke lapangan terbang lain.

Sementara itu, ditanya sama ada pembenihan awan akan dilakukan di negeri ini, Kon Yeow berkata, sekiranya keadaan jerebu semakin serius pihaknya berharap pihak berwajib akan melakukan pembenihan awan di Pulau Pinang.

"Kalau bertambah buruk saya rasa ia perlu dilakukan dan berharap jabatan serta agensi berkenaan dapat melakukan pembenihan awan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: 111 buah sekolah lagi ditutup di Pulau Pinang