Rampas tanah jika lakukan pembakaran terbuka

Pejabat Tanah dan Daerah akan melakukan tindakan mengikut prosedur terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka. Gambar kecil: Loy Sian
Pejabat Tanah dan Daerah akan melakukan tindakan mengikut prosedur terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka. Gambar kecil: Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bertegas menjalankan tindakan penguatkuasaan termasuk merampas tanah milik individu yang dikesan kerap melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johan Setia, Klang.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, Pejabat Tanah dan Daerah Klang akan melakukan tindakan mengikut prosedur ditetapkan terhadap mana-mana individu terlibat.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sehingga kini mengeluarkan sebanyak 27 kompaun dan sedang menyediakan tiga kertas siasatan atas kesalahan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di seluruh negeri.

"Jabatan penguatkuasa yang lain juga seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Daerah yang berkenaan turut mengambil tindakan perundangan berkaitan bagi kes pembakaran terbuka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata, kerajaan negeri membuat beberapa ketetapan berhubung isu jerebu yang melanda negara pada Mesyuarat Pembakaran Terbuka dan Pengurusan Tanah Gambut peringkat negeri semalam.

"Ketetapan itu termasuklah mengadakan perbincangan menyelaraskan keputusan bagi penutupan sekolah-sekolah di seluruh negeri ketika jerebu," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga melalui Jabatan Meteorologi Negeri Selangor meningkatkan kekerapan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan terjejas yang mempunyai bacaan IPU melebihi 150.

"Kita juga mengedarkan penutup muka kepada masyarakat setempat yang berisiko terdedah kepada kesan jerebu di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, agensi penguatkuasaan berkaitan juga akan meningkatkan rondaan mencegah pembakaran terbuka sehingga selepas tengah malam.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar rumah dan mengikuti makluman IPU semasa yang boleh dimuat turun melalui aplikasi MyIPU untuk maklumat kualiti udara bagi semua stesen pemantauan di seluruh negara.

Orang ramai boleh muat turun Aplikasi: MyIPU (Mobile Indeks Pencemar Udara) dari Google Play atau App Store secara percuma di telefon pintar atau melalui laman sesawang JAS iaitu www.doe.gov.my atau apims.doe.gov.my.

Orang awam yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka boleh menghubungi JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Ibu Pejabat JAS Malaysia di talian 03-8871 2000 atau menghubungi Bilik Kawalan JAS Selangor di talian 03-55197233.