MPS setuju tangguh kadar lesen, permit baharu

Mohd Masni merasmikan majlis pelancaran manual ahli majlis selepas selesai mengadakan Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Segamat Bagi Bulan Disember 2018 di MPS, semalam.
Mohd Masni merasmikan majlis pelancaran manual ahli majlis selepas selesai mengadakan Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Segamat Bagi Bulan Disember 2018 di MPS, semalam.
A
A
A

SEGAMAT - Meneliti semula keraguan dan rungutan sebahagian besar peniaga di daerah ini berhubung penguatkuasaan kadar bayaran lesen dan permit baharu menjelang tahun depan, Majlis Perbandaran Segamat (MPS) akhirnya bersetuju membuat penangguhan.

Yang Dipertuanya, Mohd Masni Wakiman berkata, penangguhan penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Trad Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017 itu diputuskan setelah mengambil kira pandangan orang ramai termasuk perbincangan bersama barisan Ahli Majlis MPS.

“Selepas meneliti pelbagai perkara termasuklah rungutan orang ramai, maka MPS telah memutuskan untuk menangguhkan dahulu penguatkuasaan kadar bayaran permit dan lesen yang baharu iaitu sehingga 1 Januari 2020.

“Ia bukan soal ragu-ragu untuk MPS laksanakan, tapi kita memberi ruang dan peluang untuk peniaga ini faham serta memerlukan tempoh masa sebelum kadar baharu dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Segamat Bagi Bulan Disember 2018 bersama kesemua Ahli Majlis di bilik mesyuarat MPS, semalam.

Menurutnya, berikutan pelaksanaan Undang-Undang Kecil Trad Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017 itu terletak di bawah bidang kuasa MPS, maka tiada masalah untuk pihaknya menetapkan satu garis masa bersesuaian.

“Selain itu, perbincangan berhubung penguatkuasaan ini juga telah dibuat pada Oktober lalu di mana bajet persekutuan dan bajet negeri belum dibentangkan.

Justeru , kita berpendapat tiada masalah jika nak tangguh dan semak dahulu sebab kita pun tak nak jauh daripada hasrat bajet kedua-dua pihak ini.

Artikel Berkaitan:

“Malah, keputusan untuk menangguh pelaksanaan undang-undang ini juga selaras dengan falsafah kerajaan PH iaitu daripada rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyangkal pendapat sebahagian pihak mengatakan kadar baharu tersebut akan membebankan peniaga ekoran penguatkuasaan itu hanya membabitkan 22 peratus peniaga luar bandar dan 77.9 peratus peniaga bandar.

Sementara itu , Masni turut memaklumkan tempoh pengurusan lesen bagi semua pengguna akan diseragamkan secara tahunan bermula 2020.

“Sebagai contoh bagi peniaga yang telah memperbaharui lesen mereka pada Jun lalu, maka ia akan tamat bermula Jun tahun hadapan. Jadi, jika mereka ingin terus berniaga, mereka hanya perlu bayar baki tempoh beberapa bulan iaitu Julai sehingga Disember 2019.

“Sebab bermula Januari 2020, semua tempoh lesen akan diseragamkan. Ia akan memudahkan semua pihak termasuk MPS sendiri. Jadi, tak timbul soal bayar lebih atau tidak adil dan seumpamanya,” ujarnya.