Tarian satukan Malaysia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menyusun gerak dan langkah lemah gemalai yang senada tatkala mempersembahkan seni tarian tradisional bukan sahaja mampu memberi kepuasan kepada si penari malah dapat membangkitkan elemen perpaduan.

Biarpun berlainan bangsa dan agama, seni tarian tradisional ini mempunyai keunikan tersendiri kerana ia dapat menyuntik semangat muhibah, menghormati kepelbagaian dan memberi sokongan antara satu sama lain dalam kalangan mereka yang berkecimpung dalam cabang seni tersebut.

Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Mohd Kipli Abdul Rahman menjelaskan penterjemahan karya kreatif tarian tradisional negara dapat mengharmonikan kaum dan memperlihatkan 'Malaysia' kerana penari perlu mempelajari warisan dan sejarah di sebalik setiap langkah tari itu.

"Apabila mereka (penari) ingin hasilkan karya kreatif dalam bentuk persembahan, mereka harus berfikir dengan cara yang sama... jadi elemen perpaduan itu muncul dan mereka sedar bahawa 'aku harus pamerkan bahawa inilah budaya yang aku ada'.

"Secara tak langsung mereka mengamalkan makna seni itu berdasarkan penghargaan mereka bahawa 'Inilah (warisan) milikku'. Selepas amalan tersebut, semangat itu meresap ke dalam jiwanya sebagai budaya Malaysia," ujarnya bahawa setiap negara akan menggunakan budaya dan bahasa sebagai agen perpaduan.

Perkara ini turut diakui penari UPSI Alton Leo John, 21, yang dididik oleh keluarganya untuk mempelajari tarian etnik dan kaum lain sejak daripada kecil.

Anak muda kelahiran Sabah etnik Dusun itu yang turut berkecimpung dalam tarian kontemporari, juga berkongsi kepentingan rakyat Malaysia memelihara warisan tradisi yang mencerminkan kebanggaan tanah air dan menyatukan kaum.

"Saya lebih meminati tarian tradisional kerana sangat penting untuk kita pelihara budaya ini, kalau tak pelihara kita tak tahu identiti budaya kita macam mana. Anak muda contohnya senang terpengaruh dengan budaya negara lain.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah merdeka tapi apa gunanya merdeka kalau kita lupa identiti kita? Maksudnya minda kita masih dijajah dengan budaya luar negara," jelasnya yang juga penuntut Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Bagi rakan Alton, Sharron Ow Chui Chyi, 21, yang juga merupakan penari UPSI, minatnya terhadap seni tari tradisional mendedahkannya kepada kepelbagaian budaya Malaysia yang unik meskipun mendapat bantahan keluarga pada awalnya.

Beliau mula meminati bidang itu sejak berusia 13 tahun apabila menyertai kelab kebudayaan di sekolah dan merasai keindahan seni itu kerana tiada tembok yang memisahkan antara kaum apabila mempersembahkan tarian.

"Pada awalnya, seluruh keluarga saya sangat membantah saya masuk dalam bidang tari ini...tetapi saya menunjukkan kesungguhan dan usaha saya untuk memartabatkan warisan Malaysia kita. Lama kelamaan mereka pun boleh faham dan sokong saya.

"Malaysia adalah negara unik yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya...saya rasa semua kaum dan etnik mempunyai tanggungjawab untuk mengangkat budaya kita. Untuk ini, saya harap dapat mempengaruhi komuniti saya dan yang lain juga," ungkapnya bahawa usaha itu dapat memupuk rasa cintakan terhadap negara.

Sharron yang berasal dari Langkap, Perak, dan mempelajari tarian antaranya zapin serta joget, turut melihat tarian tradisional tidak membataskan setiap kaum untuk melihat sesebuah tarian itu hanya perlu dipersembahkan oleh sesuatu kaum sahaja sebaliknya keunikan hayunan langkah tarian adalah milik seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu, warga Malaysia harus sentiasa mempertahankan khazanah seni tari agar ia terus bernafas tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Mengamalkan warisan tradisi seperti seni tari juga mampu mempromosi budaya Malaysia di persada dunia dan membuktikan Malaysia itu cantik, seindah bahasa dan warisannya.

Selamat Hari Malaysia, "Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih".- Bernama