KKM tunggu maklumat kes doktor cederakan bekas isteri, mentua

Laporan terdahulu Sinar Harian.
Laporan terdahulu Sinar Harian.
A
A
A

BUTTERWORTH - Kementerian Kesihatan (KKM) menyerahkan siasatan kepada polis berhubung kes seorang doktor yang dikatakan mencederakan bekas isteri dan bapa mentuanya seperti yang tular di laman sosial sejak kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian itu masih menunggu laporan polis dan sedang mengenal pasti sama ada lelaki berkenaan bertugas di bawah KKM atau di bawah Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, kes itu masih dalam siasatan tetapi pihaknya juga perlu mendapat maklumat lelaki itu.

"Tindakan tatatertib hanya akan ditentukan selepas menerima maklumat tepat berhubung latar belakang kes berkaitan lelaki tersebut," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Bagan di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar, dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin.

Kelmarin tular mengenai kejadian seorang wanita dan bapanya dipukul bekas suami pada 4 September lalu di Jalan Utarid, Sungai Buloh.

Difahamkan kejadian berlaku kerana lelaki itu tidak berpuas hati dengan mangsa berkaitan hak penjagaan anak yang masih dalam proses mahkamah.

Difahamkan, lelaki berkenaan berkhidmat sebagai doktor di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejak 2017.

Artikel Berkaitan:

Susulan kejadian itu, polis telah menahan lelaki berkenaan pada 9 September lepas namun dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, polis telah selesai mengambil keterangan pengadu dan juga suspek selepas menerima laporan pada 4 September lalu.

"Kertas siasatan kes sudah 95 peratus lengkap cuma kita masih menunggu laporan perubatan suspek daripada pihak hospital.

"Kita jangkakan laporan perubatan itu akan diperoleh dalam masa terdekat sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk kepada DPP minggu depan," katanya.

Menurutnya, polis menahan suspek untuk membantu siasatan pada 9 September tetapi dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

Shafa'aton berkata, pihaknya perlu mendapatkan laporan perubatan rasmi dari hospital untuk memperoleh siasatan yang seimbang bagi kedua-dua belah pihak.

"Selepas insiden serang itu, suspek ditahan beberapa hari di hospital dipercayai akibat tekanan selain dimaklumkan mempunyai rekod berkaitan masalah kemurungan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Kes lelaki serang bekas isteri rujuk Timbalan Pendakwa Raya