Lima negara Eropah bimbang dengan niat Israel

Benjamin Netanyahu
Benjamin Netanyahu
A
A
A

LONDON - Lima negara Eropah pada Khamis meluahkan 'kebimbangan mendalam' mereka berhubung kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu baru-baru ini mengenai kemungkinan pengilhakan beberapa bahagian Tebing Barat yang diduduki jika beliau dipilih semula, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu kenyataan bersama.

Menurut kenyataan itu, Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan United Kingdom amat bimbang dengan pengumuman baru-baru ini berkaitan kemungkinan pengilhakan beberapa kawasan di Tebing Barat terutama Lembah Jordan dan bahagian utara pantai Laut Mati.

“Langkah ini, jika dilaksanakan, merupakan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa yang serius,” katanya.

“Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan United Kingdom akan terus menggesa semua pihak bertenang dan tidak mengambil tindakan yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa yang akan menjejaskan kebolehjayaan penyelesaian dua

negara, berdasarkan garisan 1967 dan menjadikan keadaan lebih sukar untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan,” menurut kenyataan itu.

Ia juga menyebut kelima-lima negara adalah 'jelas mengenai hak Israel untuk mendapatkan jaminan keselamatan dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan baru-baru ini ke atas Israel dari Gaza'.

Awal minggu ini, Netanyahu berjanji jika beliau memenangi pilihan raya umum (PRU) yang bakal berlangsung pada 17 September, beliau akan mengilhakkan beberapa bahagian yang diduduki di Tebing Barat termasuk kawasan di utara Laut Mati dan Lembah Jordan.

Pengumuman Netanyahu telah mencetuskan kritikan lantang dalam kalangan negara Arab dan Islam serta banyak negara lain. - Bernama

Artikel Berkaitan: