Jerebu tak jejas aktiviti pelancongan di ibu negara

Keadaan kualiti udara di ibu negara yang terjejas ekoran jerebu, tidak menghalang aktiviti pelancong. - Foto BERNAMA
Keadaan kualiti udara di ibu negara yang terjejas ekoran jerebu, tidak menghalang aktiviti pelancong. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan kualiti udara di ibu negara yang terjejas ekoran jerebu, tidak menghalang aktiviti pelancong tempatan dan asing untuk meneruskan agenda mereka melawat beberapa lokasi pelancongan utama di sini, termasuk Menara Kuala Lumpur.

Tinjauan Bernama di struktur tertinggi negara itu mendapati, aktiviti meninjau pemandangan ibu negara dari pelantar pemandangan terbuka Sky Deck berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, mereka tetap meluahkan rasa hampa kerana tidak dapat melihat pemandangan ibu negara akibat dilitupi jerebu.

Pelancong warga India, Mukesh Kathed, 47, berkata, beliau agak terkilan kerana hasrat untuk melihat pemandangan Kuala Lumpur tidak tercapai.

"Agak sedih kerana matlamat saya adalah untuk merakam pemandangan KL, namun hari ini penglihatan kelihatan kabut akibat jerebu dan cuaca lebih panas daripada biasa," katanya kepada Bernama.

Pengembara Belanda, Hans Van Bijsterveld, 28, yang bercuti dua minggu di Malaysia, mengatakan bahawa keadaan jerebu di Kuala Lumpur adalah yang paling teruk berbanding di Sarawak.

"Saya terkejut bahawa jerebu di KL lebih buruk berbanding ketika saya berada di Sarawak minggu lalu, berharap apabila saya pergi ke Pulau Perhentian, Terengganu hujung minggu ini cuaca lebih baik," katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan Menara KL turut mengambil inisiatif mengedarkan topeng hidung dan muka kepada pelancong sebagai langkah berjaga-berjaga.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di laman sesawang Jabatan Alam sekitar (JAS) sehingga 2 petang ini, jumlah lokasi dengan kualiti udara tidak sihat kekal sebanyak 16 kawasan, manakala Johan Setia Klang, Selangor, satu-satunya kawasan mencatat bacaan IPU sangat tidak sihat pada paras 208.

Susulan itu, tiga sekolah di Johan Setia Klang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, SK Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, diarahkan tutup serta-merta hari ini.

Sementara itu, menurut laman web Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat 3 petang ini, sebanyak lima kawasan di Selangor mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu Shah Alam (130), Petaling Jaya (121), Klang (129), Banting (112) dan Kuala Selangor (134).

Dua kawasan di Kuala Lumpur turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Batu Muda (136) dan Cheras (119), manakala kawasan lain termasuk Putrajaya (123); Nilai, Negeri Sembilan (121); Tangkak, Johor (106); Jerantut, Pahang (116) dan Sri Aman, Sarawak (154).

Kawasan lain dengan kualiti udara tidak sihat ialah Minden (109) dan Balik Pulau (136) di Pulau Pinang serta Tasik Ipoh (104) dan Seri Manjung (147) di Perak.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya - BERNAMA