Jerebu: Malaysia larang pembakaran terbuka

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam usaha menangani masalah jerebu yang melanda negara sejak 5 September, seluruh Malaysia diisytihar sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka berkuat kuasa serta-merta sehingga Monsun Barat Daya berakhir.

Namun ini dikecualikan bagi aktiviti pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, gril/barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar (flaring).

Ini dinyatakan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, Norlin Jaafar dalam satu kenyataan hari ini.

"Semua pihak diminta tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Dalam pada itu, isu jerebu juga menyebabkan venue acara sambutan Hari Malaysia akan dipindahkan dari Padang Merdeka ke Stadium Perpaduan di Kuching.

Bercakap di Kuching hari ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Sambutan Hari Malaysia semalam.

Dalam pada itu, semua sekolah yang ditutup di sembilan daerah di Sarawak ekoran jerebu semalam, dibuka semula seperti biasa hari ini.

Sebanyak 409 sekolah berkenaan ditutup semalam selepas bacaan di beberapa kawasan melebihi Indeks Pencemaran Udara (IPU) 200 iaitu kualiti udara sangat tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kesihatan (KKM) pula menggesa orang ramai supaya peka dengan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing dan mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan.

Antara lain, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak melakukan aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu dan menggunakan penutup hidung dan mulut (face mask) jika terpaksa berada di luar.

Masyarakat turut digalakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga selain mengawasi kesihatan anak kecil serta mereka yang menghidap penyakit respiratori dan jantung kerana mereka lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

Setakat 9 malam ini, kualiti udara di Rompin, Pahang dikategorikan sebagai sangat tidak sihat dengan mencatat bacaan IPU 212.

Kualiti udara sangat tidak sihat di Johan Setia, Klang yang direkodkan antara 6 petang dan 8 malam, turun ke kategori tidak sihat dengan bacaan IPU 199 setakat 9 malam.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). - Bernama