Kasari bayi: JKM tutup operasi taska serta-merta

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Operasi taska yang dipercayai terlibat kes mengasari dua bayi di Mutiara Rini, Skudai di sini ditutup serta-merta selepas pemeriksaan mendapatinya tidak mempunyai lesen yang sah.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menutup dua lagi cawangan taska tersebut di Jalan Abd Samad di sini dan di Iskandar Puteri.

Susulan kejadian tersebut, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On turun meninjau taska berkenaan di Mutiara Rini pada pagi Selasa.

"Saya bertemu pengusaha taska berkenaan dan mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan perkara itu.

"Saya dapati taska berkenaan masih belum mendapatkan lesen daripada JKM kerana tidak mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan bomba.

"Kalau belum dapat kebenaran daripada ketiga-tiga pihak ini, JKM memang tidak boleh keluarkan lesen. Sebelum ini pun, kita sudah nasihat supaya tidak beroperasi tanpa lesen tapi pengusaha berdegil dan tetap beroperasi juga," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular dua buah video mengenai pengasuh kanak-kanak di taska berkenaan yang mengasari bayi sehingga mendatangkan pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Susulan itu, seorang wanita dipercayai pengasuh di taska berkenaan telah direman selama empat hari bermula pada Selasa.

Khairin-Nisa berkata, ketiga-tiga rangkaian taska berkenaan dihentikan operasi serta-merta oleh JKM negeri di bawah Seksyen 20a Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Jika sabit kesalahan, pengusaha boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Ujar Khairin-Nisa, pengusaha telah memohon lesen awal tahun ini dan beroperasi secara haram selama tiga hingga empat bulan ini.

Beliau pada masa sama menasihati ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska supaya menyemak sendiri dengan JKM sama ada tempat yang dihantar mempunyai lesen menjaga kanak-kanak.