X

Kindly register in order to view this article
!

Air Selangor catat sejarah baharu

Menteri Besar Selangor menandatangani plug sebagai simbolik kunjungan pada majlis perasmian Air Selangor sebagai pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor,Kuala Lumpur dan Putrajaya di ibu pejabat Air Selangor, Kuala Lumpur. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menjadi pemegang lesen perkhidmatan bekalan air dan operator tunggal bagi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 13 September 2019.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, mulai Jumaat ini, Air Selangor akan melaksanakan aktiviti rawatan dan agihan air kepada pengguna-pengguna di kawasan berkenaan.

Menurutnya, perkembangan terbaru itu juga sekaligus bermakna semua konsesi air ditamatkan dan Air Selangor menjadi operator tunggal dalam menyediakan perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Walaupun hanya akan mula beroperasi secara rasmi sebagai pemegang lesen perkhidmatan bekalan air bermula Jumaat ini, Air Selangor dan kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai perancangan dan inisiatif bagi meningkatkan kecekapan.

“Sebagai contoh, kerajaan negeri telah membina dan menyiapkan dua lagi Loji Rawatan Air baharu iaitu Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dengan kos sebanyak RM 800 juta. Ia bagi meningkatkan rizab margin air terawat di Selangor.

Amirudin (empat dari kanan) merasmikan logo baru Air Selangor pada majlis perasmian Air Selangor sebagai pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor,Kuala Lumpur dan Putrajaya, hari ini. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Amirudin (empat dari kanan) merasmikan logo baru Air Selangor pada majlis perasmian Air Selangor sebagai pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor,Kuala Lumpur dan Putrajaya, hari ini. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

“Kerajaan negeri juga menyalurkan bantuan dalam bentuk geran dan pinjaman sebanyak RM324.3 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penggantian paip lama melebihi 438 kilometer di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Air Selangor Sebagai Pemegang Lesen Tunggal Perkhidmatan Perkhidmatan Bekalan Air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di ibu pejabat Air Selangor di sini pagi semalam.

Amirudin berkata, Air Selangor juga membelanjakan RM1.1 bilion dari 2016 hingga 2018 bagi menaik taraf dan membaik pulih pelbagai aset dan infrastruktur bekalan air.

“Selain itu, nisbah kekerapan paip pecah per 100 KM telah menunjukkan penurunan dari 20 kes pada tahun 2016 kepada 13 kes pada tahun 2018. Pencapaian ini juga merupakan praktis terbaik (best practise) yang digunapakai oleh industri air di negara-negara lain.

“Melangkah ke hadapan, Air Selangor juga telah merangka dan merancang pelaksanaan kerja kapital secara berterusan melalui pelan perniagaan 30 tahun dengan perbelanjaan sebanyak RM30 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, pelbagai usaha telah diambil bagi melaksanakan penstrukturan air di kawasan berkenaan bermula dari tahun 2009.

Begitupun, katanya, segala usaha itu menemui kegagalan sehinggalah Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bersetuju untuk bekerjasama dengan menandatangani Perjanjian Utama pada 12 September 2014.

“Hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat telah dapat merealisasikan pengambil alihan PNSB Water Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada 15 Oktober 2015.

“Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) pula berjaya diambil alih pada 31 Disember 2015 diikuti dengan pengambilalihan Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB) pada 11 Mac 2016.

“Dengan muktamadnya pengambil alihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) pada 24 April lepas maka sempurnalah sudah pengambil alihan semua syarikat konsesi air di Selangor,” katanya.

Dengan perkembangan terbaru itu, Suhaimi yakin penyerahan lesen kepada Air Selangor itu adalah permulaan bagi perjalanan ke arah visi syarikat untuk menjadi pembekal air terunggul di rantau ini.

Air Selangor ialah syarikat milik sepenuhnya oleh Kerajaan Selangor dan telah ditubuhkan pada 26 Februari 2014 di bawah Akta Syarikat Malaysia 1965.

Ia ditubuhkan untuk menyediakan perkhidmatan air secara holistik di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.



Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus