ProSPEC memacu keusahawanan bidang profesional MARA

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Melalui program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) yang diperkenalkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur Royal College Of Medicine (UniKL RCMP), golongan profesional seperti doktor kini berpeluang menceburi bidang keusahawanan dan memahami selok-belok perniagaan bersandarkan kepakaran dimiliki mereka.

ProSPEC merupakan antara contoh program keusahawanan MARA yang dibangunkan merangkumi tiga elemen utama iaitu pembangunan usahawan atau individu, pembangunan perniagaan dan bantuan khidmat sokongan kepada usahawan dalam menjalankan sesuatu perniagaan.

Program ini dibangunkan dengan memberi penumpuan kepada bidang perubatan, farmasi, optometri, pergigian, perakaunan, perundangan, senibina/architecture dan kejuruteraan.

Namun, fokus pertama program ini ditumpukan untuk melahirkan usahawan profesional dalam bidang perubatan dan ia berjaya direalisasikan pada penghujung tahun 2018, di mana sebanyak 18 buah klinik di bawah satu jenama iaitu U.n.i KLINIK bagi fasa pertama dibangunkan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dengan kos keseluruhan pembiayaan berjumlah RM5.4 juta.

Doktor usahawan yang dilahirkan menerusi ProSPEC ini juga dipilih secara teliti melalui beberapa sesi saringan yang dijalankan pada Julai 2018.

MARA memilih hanya 40 doktor untuk menjalani latihan pembangunan usahawan ProSPEC. 20 doktor telah tamat menjalani latihan bagi sesi pertama, sementara 20 lagi akan diteruskan pada tahun ini.

Bagi fasa pertama, MARA melahirkan 18 usahawan yang membuka klinik sendiri di bawah satu jenama U.n.i KLINIK dan mereka yang terpilih sebahagiannya merupakan pelajar-pelajar tajaan MARA di bawah UniKL, bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan tajaan-tajaan pelajaran MARA yang lain.

Menerusi program tersebut, doktor yang terpilih dibantu untuk membangunkan perniagaan mereka dengan mengadakan kerjasama melalui perkongsian pengalaman oleh pemain-pemain industri bidang perubatan dan agensi-agensi seperti Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), majlis perbandaran dan kerajaan tempatan, pembekal-pembekal teknologi juga perubatan bagi mewujudkan satu jaringan perniagaan serta membentuk ‘supply chain’ dalam perniagaan U.n.i KLINIK.

Artikel Berkaitan:

MARA turut menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pembiayaan perniagaan, khidmat nasihat sepanjang program, pemantauan perkembangan perniagaan, bantuan kajian pasaran, sewaan premis perniagaan dan sebagainya.

Selain itu, sistem sokongan yang dibina dalam kalangan peserta-peserta ProSPEC yang juga memiliki perniagaan sendiri di bawah U.n.i KLINIK memberikan satu aura dan semangat yang jitu untuk membina perniagaan secara bersama-sama.

Jaringan perniagaan yang dibina dengan agensi-agensi berkaitan dan pemain industri membantu dan memudahkan para peserta untuk memenuhi semua keperluan yang ditetapkan bagi membolehkan perniagaan beroperasi dengan cepat.

Dengan adanya suntikan keseluruhan elemen dalam ekosistem keusahawanan MARA ini, program berkenaan diyakini dapat membantu usahawan (doktor) dan perniagaan mereka agar mampu bertahan dan berkembang maju.

ProSPEC beri peluang buka klinik sendiri

Bukan mudah untuk membuka klinik, tambah lagi jika tiada pengalaman, kata Dr Rugaiyah Sahak, 36, iaitu salah seorang daripada 40 doktor yang terpilih dalam program ProSPEC bagi membuka U.n.i KLINIK di Seksyen 13, Shah Alam.

Beliau sudah lama menyimpan hasrat memiliki klinik sendiri tetapi tiada keberanian untuk meneruskan impian tersebut.

“Apabila dapat tahu tentang program ProSPEC, saya tak mahu sia-siakan peluang diberi dan terus buat permohonan.

Beliau mengakui program tersebut membuka jalan untuknya memperluas kepakaran dalam bidang perubatan serta meneroka bidang perniagaan.

Dr Rugaiyah memilih lokasi klinik yang mempunyai populasi penduduk padat dan merupakan kawasan tumpuan pelajar institusi pengajian tinggi.

“Jadi saya perlu ambil kira pelbagai aspek berkaitan mereka termasuk jenis penyakit yang sering dialami mereka seperti cirit-birit, muntah serta cadangan mereka yang tak nak ubat mahal.

“Selain tawarkan pemeriksaan kesihatan menyeluruh, ujian darah yang pantas, perkhidmatan pemeriksaan berkala bagi ibu mengandung dengan mesin yang terbaru 4D/5D dan khidmat konsultasi penyakit.

“Saya juga menawarkan rawatan sakit kulit (dermatologi) serta pemeriksaan ultrasound bukan sahaja untuk bayi tetapi juga untuk penyakit tiroid, payudara, organ dalaman, rahim dan sebagainya,” katanya yang memiliki kepakaran dalam dua bidang itu.

Dr Rugaiyah (kanan) bersama Dr Muhammad Yazid Sahak (kiri) dan kakitangan U.n.i KLINIK Seksyen 13, Shah Alam.
Dr Rugaiyah (kanan) bersama Dr Muhammad Yazid Sahak (kiri) dan kakitangan U.n.i KLINIK Seksyen 13, Shah Alam.

U.n.i Farmasi diperkenalkan

Dalam perkembangan lain, MARA berhasrat meneruskan program ProSPEC dalam bidang farmasi pula yang dilihat amat signifikan bagi mewujudkan jaringan farmasi Bumiputera di bawah satu jenama dan satu konsep yang mampu menawarkan harga perkhidmatan mampu milik.

MARA menyasarkan seramai 20 peserta untuk mengikuti ProSPEC dalam bidang farmasi dengan kelayakan minimum dan 10 orang akan dibiayai di mana pemilihan dijangka berlangsung September ini, disusuli latihan berstruktur, permohonan skim pembiayaan dan pewujudan outlet farmasi mengikut konsep yang disediakan.

Bakal usahawan akan diberikan pendedahan dalam pengurusan perniagaan di mana proses tersebut berlangsung berorientasikan produk, aplikasi dan operasi dalam bidang farmasi.

Sekurang-kurangnya 5 outlet farmasi dijangka dapat diwujudkan menjelang Disember 2020 di bawah jenama U.n.i Farmasi. Pada masa ini, terdapat 22 universiti di Malaysia yang menawarkan program ijazah farmasi dengan lepasan pelajar seramai 4,400 orang/ tahun, sementara MARA menaja seramai 3,406 pelajar dalam jurusan farmasi bermula September 2013 sehingga Januari 2019.

Kumpulan sasar dan syarat-syarat penyertaan

• Usahawan sedia ada dalam bidang Farmasi @ Graduan ljazah Sarjana Muda Farmasi dari lnstitusi Pengajian Tinggi yang diiktiraf

• Telah menamatkan latihan Pegawai Farmasi Provisional (PRP)

• Mempunyai pengalaman di dalam perniagaan/operasi Farmasi Komuniti tidak kurang 2 tahun

Tawaran daripada MARA

• Peluang mendapat pembiayaan perniagaan MARA sehingga RM 500,000

• Pakej Latihan Pembangunan Usahawan bagi membuka farmasi di bawah jenama U.n.i Farmasi

• Kemudahan pemasaran Berpusat kepada MARA dan agensi-agensi MARA

• Strategi perniagaan yang lengkap untuk rangkaian U.n.i Farmasi

Permohonan untuk menyertai ProSPEC U.n.i Farmasi

• Permohonan secara atas talian melalui MARAeps: Yuran Permohonan RM50.

• Pemohon perlu menjalani Ujian Personaliti.

• Pemohon perlu membawa sesalinan dokumen berikut untuk diserahkan kepada Urusetia Temuduga:

Laporan CCRIS & CTOS

Resume terkini

Keputusan Ujian Personaliti

• Tarikh tutup permohonan: 9 September 2019.

• Pemohon akan menjalani temuduga di RTC Gopeng bersempena program MERCU MARA pada 13 September 2019 (Jumaat).

• Keputusan & Tawaran untuk mengikuti Program Latihan lnkubator pada 17 September 2019.

• Pemohon yang berjaya di dalam temuduga akan menjalani program Latihan lnkubator Pembangunan Usahawan pada 21 hingga 29 September 2019 di UniKL RCMP, lpoh, Perak