Program Jelajah Usahawan Halal UMNO mampu buka potensi peniaga

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekretariat Hal Ehwal Industri Halal & Keusahawanan UMNO telah melancarkan program Jelajah Usahawan Halal yang bakal menjadi platform bagi golongan usahawan, khususnya anak muda untuk mengembangkan potensi mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengerusinya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Program ‘Jelajah Usahawan Halal’ ini dirangka khusus untuk membuka ruang serta peluang kepada usahawan-usahawan termasuk orang awam yang berminat dalam menceburi bidang keusahawanan dan industri halal khususnya Modul Kursus Profesional Eksekutif Halal.

"Ramai yang tidak sedar bahawa industri halal ini sangat besar potensinya, bukan sahaja di dalam negara, malah juga sebagai sumber eksport.

"Nilai eksport halal Malaysia pada 2022 ialah RM59.46 bilion, meningkat RM23.16 bilion atau 63.8 peratus daripada jumlah tahun sebelumnya," katanya selepas majlis perasmian program Jelajah Usahawan Halal di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2023.

Usahawan-usahawan yang menyertai jelajah ini juga berpeluang untuk menyertai Audit Dalaman Halal yang ditawarkan oleh Halal Development Corporation (HDC) bagi mendapat pengiktirafan dan peluang pekerjaan yang sewajarnya untuk maju ke peringkat yang lebih tinggi.

HDC juga telah membangunkan Platform Bersepadu Halal (HIP), inisiatif yang mewujudkan satu rangkaian perniagaan yang menghubungkan usahawan dan pihak-pihak berkepentingan dalam ekosistem halal melalui satu platform ‘super apps’ yang bersepadu.

"HIP akan memudahcara dan memantau penyertaan para usahawan serta graduan yang terlibat di dalam program Jelajah supaya mereka sentiasa berdaya maju dan mampan dalam jangka masa panjang," katanya.

Tengku Zafrul berkata, siri jelajah ini akan bermula dalam masa yang terdekat iaitu sekitar Julai dan bermula di Selangor.

"Fokus kita adalah untuk memastikan seberapa ramai graduan dan usahawan mendapat maklumat serta manfaat daripada program tersebut. Insya-Allah, lebih ramai usahawan industri halal akan dapat dilahirkan daripada program ini," katanya. - Bernama