Saifuddin lawat China sempena ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah akan melakukan lawatan kerja lima hari ke China mulai hari ini sehingga 13 September bersempena ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik Malaysia-China, kata Kementerian Luar.

Menurut kementerian itu, Saifuddin akan melakukan beberapa program di Shenzhen, Nanning dan Beijing dalam lawatan rasmi pertama beliau ke China sebagai menteri luar.

"Di Beijing, beliau akan mengunjungi Naib Presiden China Wang Qishan dan mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, yang melakukan lawatan rasmi ke Malaysia dari 31 Julai hingga 1 Ogos, tahun lepas.

“Saifuddin juga dijadual bertemu bekas menteri luar dan anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Yang Jiechi," jelas kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian itu berkata Saifuddin akan turut melawat ibu pejabat Huawei Technologies dan Tencent di Shenzhen,Taman Perindustrian Qinzhou China–Malaysia (CMQIP) di Nanning, di samping bertemu dengan para pemimpin wilayah Guangxi.

CMQIP adalah taman perindustrian berkembar dengan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

"Lawatan rasmi Saifuddin akan menzahirkan komitmen padu Malaysia dalam memperluaskan dan memperteguhkan kerjasama dua hala yang sedia kukuh serta menyeluruh dengan China.

“Kedua-dua pihak akan membuat penilaian tentang perkembangan usaha yang sedang dijalankan dan meneroka inisiatif baharu, terutamanya dalam bidang perdagangan, pelaburan, kesambungan infrastruktur dan teknologi canggih terbaharu, di samping bertukar-tukar pendapat dalam isu semasa di peringkat serantau serta antarabangsa membabitkan kepentingan bersama,” jelas kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

China adalah rakan dagang terulung Malaysia selama sepuluh tahun berturut-turut sejak 2009. Tahun lepas, jumlah dagangan antara kedua-dua negara dicatatkan sebanyak RM313.81 bilion (US$77.72 bilion), meningkat sebanyak 8.1 peratus daripada tahun 2017. - Bernama