Menteri kanan Britain umum letak jawatan

Amber Rudd umum peletakan jawatan sebagai protes terhadap cara Perdana Menteri Britain, Boris Johnson tangani isu Brexit. - Foto AFP
Amber Rudd umum peletakan jawatan sebagai protes terhadap cara Perdana Menteri Britain, Boris Johnson tangani isu Brexit. - Foto AFP
A
A
A

LONDON - Perdana Menteri Britain, Boris Johnson sekali lagi menerima tamparan hebat apabila seorang menteri kanan meletak jawatan semalam sebagai tanda protes terhadap cara beliau menangani krisis Brexit.

Peletakan jawatan Amber Rudd, Setiausaha Negara untuk Kerja dan Pencen melengkapkan minggu yang teruk buat Johnson yang sedang cuba memimpin negaranya mengharungi krisis politik terbesar sejak Perang Dunia Kedua.

Rudd merupakan anggota kerajaan bekas perdana menteri Theresa May yang diserap ke dalam kerajaan Johnson susulan kemenangan bekas Datuk Bandar London itu dalam perebutan jawatan Perdana Menteri Britain pada Julai lalu.

"Saya meletak jawatan daripada Kabinet dan menyerahkan Wip Konservatif.

"Saya tidak tahan melihat ahli Konservatif yang baik dan setia disingkirkan," tulis Rudd di laman Twitter merujuk kepada keputusan Johnson menyingkirkan 21 Ahli Parliman Parti Konservatif kerana mengundi menentang kerajaan berhubung isu Brexit.

Rudd, 56, dilaporkan tidak lagi dapat menyokong cara Johnson berunding dengan Brussels mahupun cara pemimpin itu menangani politik domestik.

Dalam surat peletakan jawatannya, Rudd berkata, beliau bimbang dengan komitmen Johnson untuk membawa Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) pada 31 Oktober walaupun kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat.

Rudd sebelum ini melihat 'ugutan' Johnson berhubung perpisahan tanpa perjanjian sebagai taktik rundingan berguna terhadap Brussels.

Artikel Berkaitan:

"Namun, saya tidak lagi percaya perpisahan dengan perjanjian adalah matlamat utama kerajaan.

"Kerajaan menghabiskan banyak tenaga bersedia untuk perpisahan tanpa perjanjian namun saya tidak melihat kesungguhan yang sama dalam rundingan dengan EU," tulis Rudd.

Terdahulu, Johnson menyatakan beliau rela mati dalam parit daripada meminta langkah penangguhan Brexit selain mahu mengadakan pilihan raya awal yang akan memberikan mandat kepadanya untuk membawa Britain keluar dari EU dengan atau tanpa perjanjian. - AFP