Pensyarah bersyukur isu perkauman tak jejas hubungan akar umbi

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Ketika isu perkauman dan agama menjadi isu hangat dewasa ini, seorang pensyarah melalui satu pengalaman yang membuktikan isu ini tidak pernah menjejaskan semangat bantu-membantu dalam kalangan rakyat di akar umbi.

Rohana Ahmad, 58, yang berkongsi pengalamannya dibantu sebuah keluarga India ketika berseorangan di tepi jalan selepas enjin keretanya tidak dapat dihidupkan di Paya Terubong dekat sini beberapa hari lalu merasa begitu terhutang budi dengan pertolongan itu.

“Dalam memikirkan kesulitan itu, seorang anak muda India bersama beberapa ahli keluarganya tampil dan dia dapat menghidupkan semula enjin kereta saya.

"Ketika saya mengucapkan terima kasih, dia hanya sekadar menolong apa yang mampu tanpa mengira sesiapa yang ditimpa kesusahan,” katanya di sini hari ini.

Sepanjang peristiwa itu, anak muda yang memperkenalkan dirinya sebagai Siva dan ditemani ibu dan tiga orang adiknya sentiasa menunjukkan tingkah laku yang baik ketika membantunya.

“Di sini saya ingin memuji tingkah laku anak muda yang sopan, berakhlak tinggi dan baik hati ini, pastinya dengan didikan ibunya,” katanya.

Rohana, yang bertugas di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (Kitab) Pulau Pinang turut berkongsi pengalamannya itu dalam laman Facebooknya berkata, apa yang dilaluinya itu seharusnya menjadi iktibar kepada semua pihak supaya berhenti memainkan sentiman perkauman dan agama.

Kesediaan Siva dan keluarganya membantu ketika beliau dalam kesusahan menunjukkan golongan akar umbi tidak ada masalah untuk hidup bersama dalam keadaan harmoni serta sentiasa sedia untuk membantu satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya sifat perikemanusiaan tidak mengenal kaum atau agama. Kepada mereka yang sering menggunakan sensitiviti perkauman dan agama untuk kepentingan sendiri, sudah-sudahlah tu. Tolonglah bertanggungjawab sedikit,” katanya.

Rohana, yang tidak sempat mendapatkan nombor telefon dan maklumat lanjut Siva atau ahli keluarganya ketika peristiwa itu turut berhajat untuk bertemu kembali dengan keluarga berkenaan.

“Saya ingin berjumpa semula dengan mereka sekeluarga kerana membantu saya ketika dalam kesusahan,” katanya. - Bernama