[DIKEMASKINI] Lima lelaki dituduh milik senjata api, edar dadah

Lima lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen dan Majistret Gua Musang hari ini atas tuduhan memiliki dadah dan senjata api.
Lima lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen dan Majistret Gua Musang hari ini atas tuduhan memiliki dadah dan senjata api.
A
A
A

GUA MUSANG - Dua lelaki dihadapkan ke mahkamah atas lima pertuduhan berkait pemilikan senjata api dan dadah di sebuah rumah di Jalan Pekan Lama di sini pada 22 Ogos lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Yong Hai Woon, 42, dan Er Boon Hock, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor di Mahkamah Sesyen semalam.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama dengan pengetahuan memiliki sepucuk pistol berwarna hitam jenama CZ 2075 Rami dan 100 butir peluru hidup di sebuah rumah kedai di Jalan Pekan Lama di sini pada jam 10 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan minimum enam kali sebatan.

Bagi tuduhan memiliki peluru pula, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Hai Woon dan Boon Hock didakwa atas tiga pertuduhan memiliki dadah bersama tiga lagi tertuduh iaiitu Mohd Arzmi Amran, 38, Yap Gee Hong, 61, dan Poh Kuan Fat, 38.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa mengedar dadah jenis syabu anggaran berat kasar 133.6 gram.

Oleh itu, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) ADB 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa memiliki 80 pil dadah jenis ekstasi anggaran berat kasar 16 gram dan 22 biji pil WY dipercayai dadah jenis metamphetamin seberat 2.2 gram.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dihukum di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kelima-lima tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua tuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Khairuddin Anhar Mahmu menetapkan 13 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tidak dibenarkan ikat jamin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan satu sindiket penjualan senjata api tumpas selepas ditahan sepasukan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Pekan Lama, Gua Musang pada 22 Ogos lalu.