X

Kindly register in order to view this article
!

Kek Jalur Gemilang meriahkan hari merdeka

Kek Jalur Gemilang yang dihasilkan dengan menggunakan kek cawan berwarna putih merah biru dan kuning.
A
A

KOTA BHARU - Bagi menyambut Hari Kemerdekaan setiap tahun sudah tentu pelbagai persiapan dilakukan seluruh warganegara di negara ini.

Tidak ketinggalan, pembuat kek juga antara golongan yang sibuk menyiapkan tempahan kek bertemakan kemerdekaan bagi menambah seri pada majlis-majlis yang diadakan di pelbagai agensi, institusi awam dan swasta di seluruh negara.

Pemilik Harmuni Bakery, Syarifah Munirah Syed Malek Shahabudin, 38, berkata, tempahan kek di kedai perusahaannya di Ketereh di sini meningkat tiga kali ganda pada bulan Ogos berbanding pada bulan lain.

Syarifah Munirah (tengah) bersama peserta yang menyertai bengkel menghasilkan kek Jalur Gemilang.
Syarifah Munirah (tengah) bersama peserta yang menyertai bengkel menghasilkan kek Jalur Gemilang.

Menurutnya, jumlah tempahan pada bulan sambutan Hari Kemerdekaan ini akan mencecah sejumlah 250 sehingga 350 biji kek pelbagai jenis dan perisa mengikut kehendak pelanggan bertemakan kemerdekaan pada setiap tahun.

“Pada tahun lepas, kedai kami menerima lebih 300 tempahan bagi menghasilkan kek yang dihiasi dengan Jalur Gemilang, manakala pada tahun ini pelanggan sudah mula menempah pelbagai jenis kek berhias bendera Malaysia untuk sambutan di majlis masing-masing.

“Kebiasaannya minggu pertama dan kedua pada bulan Ogos ini tempahan yang diterima daripada pelanggan masih perlahan serta akan mula meningkat apabila masuk minggu ketiga dan terakhir sebelum 31 Ogos,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Proses menghasilkan kek Jalur Gemilang memerlukan ketelitian.
Proses menghasilkan kek Jalur Gemilang memerlukan ketelitian.

Hasilkan kek Jalur Gemilang 10 meter

Menurut tenaga pengajar itu, beliau juga pernah menerima tempahan kek bertemakan Jalur Gemilang sepanjang 10 meter iaitu bersamaan dengan sejumlah 40 biji kek sama saiz dan satu kek dalam saiz yang lebih besar daripada sebuah sekolah di Ketereh beberapa tahun lalu.

“Kek 40 biji itu digunakan untuk menghasilkan bahagian jalur merah dan putih yang ada pada bendera Malaysia manakala satu kek besar dihiaskan dengan warna biru berserta bintang dan bulan.

Bentuk bulan dan bintang yang dilukis menggunakan krim perlu dipastikan sama dengan bentuk sebenar.
Bentuk bulan dan bintang yang dilukis menggunakan krim perlu dipastikan sama dengan bentuk sebenar.

“Walaupun penat menghasilkan kek yang bersaiz lebih besar, saya tetap berasa puas dan bangga kerana dapat melihat semangat kecintaan terhadap negara yang ada dalam masyarakat kita apabila masing-masing bersungguh-sungguh mengadakan sambutan dan dilengkapi pula kek bertemakan semangat patriotik itu,” katanya.

Pembuat kek perlu ada pengetahuan am

Bercerita mengenai seni menghias kek menurutnya, kreativiti pembuat kek dalam menghasilkan hiasan bertemakan sambutan hari lahir, perayaan atau perkahwinan berbeza dengan kek yang bertemakan kemerdekaan.

Syarifah Munirah berkata, ini kerana mereka perlu mengambil kira elemen-elemen patriotik yang bertepatan dalam penghasilan kek berkenaan.

Katanya, seni penghasilan kek untuk sambutan ulang tahun dan sebagainya lebih luas berbanding seni bagi kek Jalur Gemilang.

Pelbagai hiasan kek Jalur Gemilang dihasilkan tanda semangat patrotisme.
Pelbagai hiasan kek Jalur Gemilang dihasilkan tanda semangat patrotisme.

"Sebelum menghias, pembuat kek perlu berpengetahuan am tentang kedudukan bintang, bulan dan jalur yang ada pada bendera negara kita. Seperti warna merah mendahului jalur diikuti warna putih berselang seli sebanyak tujuh kali setiap satu warna tersebut.

"Kedudukan corak biru pula akan berada pada jalur tujuh menegak dan tujuh melintang bagi mengelakkan corak tersebut senget serta bintang pula ada 14 bucu selain bulan yang perlu dilukis seimbang dengan corak bintang.

“Dari segi warnanya pula sudah tentu perlu menggunakan warna putih, merah, biru dan kuning bagi mendapatkan kesan yang bertepatan dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!