Hormati hak pengguna Muslim

Dr Bahyah Baba
Dr Bahyah Baba
A
A
A

ISU utamakan produk keluaran Muslim dijangka membantu meningkatkan taraf ekonomi orang Islam dalam memartabatkan agenda jihad ekonomi mereka.

Jadi tidak timbul sebarang masalah jika orang Islam mengutamakan pembelian produk Muslim kerana sebagai pengguna mereka juga mempunyai hak untuk memilih.

Bagi melihat perkembangan isu itu, Sinar Harian menemu bual penganalisis ekonomi, Dr Bahyah Baba.

SINAR HARIAN: Wujud dakwaan mengatakan isu itu ialah satu agenda memboikot barangan bukan Muslim? Apa pandangan Dr Bahyah?

BAHYAH: Isu itu timbul apabila selama ini pelbagai isu tidak halal muncul, misalnya peniaga menipu sijil halal. Jadi pengguna Muslim rasa sering tertipu kerana sebagai orang Islam, mencari barangan halal itu adalah satu kemestian.

Jadi pada masa sekarang orang Islam sudah menyedari bahawa ada keperluan untuk membeli barangan produk Muslim. Macam ada orang cakap bukan kita boikot barangan bukan Muslim, kita cuma mengutamakan produk Muslim sahaja.

Mungkin selalu timbul isu penipuan halal menyebabkan pengguna Muslim mula mencari alternatif beralih kepada produk Muslim, jadi saya fikir itu antara punca yang menyebabkan gelombang utamakan produk Muslim ini kian mendapat tempat dalam kalangan orang Islam.

Bagaimana Dr Bahyah melihat isu itu dari sudut perkembangan ekonomi?

Artikel Berkaitan:

BAHYAH: Ia memang memberi kesan kepada ekonomi. Dari segi ekonomi ia biasa sahaja, cuma pembelian sekarang beralih kepada produk Muslim, ia memberi impak kepada ekonomi umat Islam.

Kita akan nampak berlakunya peningkatan ekonomi orang Islam kerana sebagai pengguna majoriti di Malaysia memang ia memberi pengaruh yang besar.

Jadi saya fikir sudah tiba masanya ekonomi orang Islam dipertingkatkan kerana kita sudah lama tertinggal dalam hal itu dengan kaum lain di Malaysia.

Sesetengah pihak menyifatkan kempen beli produk Muslim tidak sesuai dilaksanakan kerana Malaysia sebuah negara majmuk. Benarkah?

BAHYAH: Mereka sepatutnya menghormati keputusan pengguna dalam memilih barangan yang mahu mereka beli.

Pengguna Muslim sekarang ini sudah mempunyai pilihan sama ada hendak membeli produk Muslim atau bukan.

Kalau hendak beli produk Muslim, itu pilihan mereka, jadi suka hati mereka untuk berbuat sedemikian kerana itu sudah menjadi hak mereka dalam memilih.

Jangan ditambah lagi dengan kenyataan yang seolah-olah menafikan hak pengguna Muslim. Kita harus sedar ekonomi orang Islam masih jauh di belakang, jadi apa salahnya mereka membantu meningkatkan ekonomi sesama mereka.

Jika produk Muslim menjadi keutamaan, mungkinkah berlaku peniaga Muslim mengambil kesempatan?

BAHYAH: Saya nasihatkan peniaga Muslim janganlah mengambil kesempatan dengan menjual barangan yang tidak berkualiti. Kalau hendak mengambil untung itu berpada-padalah, jangan pula mereka mengambil peluang daripada kesempitan.Marilah sama-sama kita saling membantu dan memudahkan sesama kita.