Rang undang-undang ekstradisi Hong Kong dibatalkan sepenuhnya

Pejalan kaki berjalan melepasi skrin memaparkan pengumuman penarikan balik rang undang-undang ekstradisi oleh Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam hari ini. - Foto AFP
Pejalan kaki berjalan melepasi skrin memaparkan pengumuman penarikan balik rang undang-undang ekstradisi oleh Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam hari ini. - Foto AFP
A
A
A

HONG KONG - Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam hari ini mengumumkan akan membatalkan sepenuhnya rang undang-undang ekstradisi yang menjadi punca protes pro-demokrasi selama tiga bulan yang menjerumus bandar raya itu ke dalam krisis.

"Kerajaan akan secara formal membatalkan sepenuhnya rang undang-undang berkenaan demi menghilangkan kebimbangan ramai.

"Kita harus mencari cara untuk menangani ketidakpuasaan hati dalam masyarakat dan mencari penyelesaian," kata Lam dalam satu kenyataan video dari pejabatnya.

Dalam pesanannya, Lam mengesahkan rang undang-undang ekstradisi akan dibatalkan sepenuhnya sebaik Parlimen dibuka semula pada bulan Oktober.

Beliau turut mengumumkan cadangan untuk mengadakan dialog supaya rakyat dapat berkongsi pandangan dan menyuarakan rungutan selain daripada rancangan untuk menugaskan ahli akademik, penasihat dan golongan profesional untuk mengkaji masalah dalam masyarakat dan menasihati kerajaan dalam mencari penyelesaian.

Lam bagaimanapun memberi amaran kepada penunjuk perasaan, keganasan dan cabaran berterusan terhadap pihak berkuasa Beijing meletakkan Hong Kong dalam posisi bahaya.

"Keutamaan kita kini ialah menghentikan keganasan, menjaga kedaulatan undang-undang dan memulihkan ketenteraman awam," kata Lam.

Pembatalan sepenuhnya rang undang-undang ekstradisi merupakan salah satu daripada lima tuntutan utama penunjuk perasaan yang membanjiri jalanan Hong Kong.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Lam sekadar menggantung rang undang-undang berkenaan dan menggelarkan ia 'mati', beliau tidak mengambil langkah rasmi untuk membatalkannya, sekali gus mencetuskan kebimbangan pentadbirannya akan cuba menghidupkan kembali rang undang-undang itu setelah protes reda. - AFP