Azizulhasni tambah koleksi emas keempat di Hong Kong

Azizulhasni menyambar emas acara pecut lelaki Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II 2023. - Foto Facebook Azizulhasni Awang
Azizulhasni menyambar emas acara pecut lelaki Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II 2023. - Foto Facebook Azizulhasni Awang
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menikmati perlumbaan yang cemerlang di Hong Kong selepas meraih pingat emas keempatnya, malam ini.

Pada hari terakhir saingan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II 2023 yang berlangsung di Velodrom Hong Kong, Mohd Azizulhasni menyambar emas acara pecut lelaki menewaskan pelumba Korea Selatan Kang Seojun yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, menurut www.uci.org.

Mengiringi kejayaan Mohd Azizulhasni di podium adalah seorang lagi pelumba elit negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga untuk membawa pulang gangsa.

Mengiringi kejayaan Azizulhasni di podium, Muhammad Fadhil (kanan) yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga untuk membawa pulang gangsa. - Foto Facebook Azizulhasni Awang
Mengiringi kejayaan Azizulhasni di podium, Muhammad Fadhil (kanan) yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga untuk membawa pulang gangsa. - Foto Facebook Azizulhasni Awang

Kejayaan dicipta The Pocket Rocketman itu merupakan emas keduanya di kejohanan itu selepas turut mengungguli acara keirin semalam.

Sebelum itu, juara dunia keirin 2017 dan pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menyambar dua emas masing-masing dalam acara pecut serta keirin pada Piala Trek Antarabangsa Hong Kong I yang hanya berlangsung sehari pada Jumaat lepas.

Sementara itu, saingan pada Ahad menyaksikan pelumba wanita negara, Anis Amira Rosdi kempunan menaiki podium selepas menamatkan saingan final keirin di kedudukan keempat di belakang tiga pelumba Korea Selatan iaitu Lee Hye-jin (emas) diikuti Kim Ha-eun (perak) dan Cho Sun-young (gangsa). - Bernama