Azizulhasni gembira kejayaan di Hong Kong

Azizulhasni (kiri) bersama Fadhil meraih kejayaan membanggakan dalam Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II yang berakhir pada Ahad. - Foto: FB Azizulhasni Awang.
Azizulhasni (kiri) bersama Fadhil meraih kejayaan membanggakan dalam Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II yang berakhir pada Ahad. - Foto: FB Azizulhasni Awang.
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang gembira dengan prestasi semasanya ketika ini setelah berjaya merangkul empat pingat emas dalam Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong II yang berakhir pada Ahad.

“Alhamdulillah penutup yang sempurna hari ini (Ahad) apabila saya sekali lagi memenangi pingat emas dalam acara pecut lelaki.

“Secara keseluruhan saya mendapat empat pingat emas untuk empat acara dan sudah tentu saya berpuas hati dengan persembahan di sini,” ujarnya menerusi catatan di Facebook pada malam Ahad.

Pelumba yang berasal dari Terengganu itu juga berasa bangga kerana kejayaannya turut diikuti pelumba muda yang melakar pencapaian positif sekali gus menggambarkan Malaysia tidak ketandusan pelumba muda di arena antarabangsa.

“Tahniah kepada rakan sepasukan saya Fadhil Zonis yang mendapat pingat gangsa selepas menewaskan pelumba dari Kazakhstan dengan kemenangan 2-1.

“Tahniah juga buat pelumba muda negara, Amber Yong yang mendapat pingat emas untuk acara keirin wanita remaja sekali gus melengkapkan tiga pingat emas untuk kategori itu,” katanya.

Kejayaan dicipta The Pocket Rocketman itu adalah emas keduanya pada kejohanan itu selepas turut mengungguli acara keirin pada Sabtu.

Sebelum itu, juara dunia keirin 2017 dan pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menyambar dua emas masing-masing dalam acara pecut serta keirin pada Piala Trek Antarabangsa Hong Kong I Jumaat lepas.

Sementara itu, dalam acara pecut wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berjaya meraih gangsa selepas mengenepikan cabaran pelumba Korea Selatan, Park Jihae pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Pelumba muda negara, Amber Yong pula cemerlang merangkul pingat emas menerusi acara pecut remaja wanita, menewaskan Valencia Tan dari Singapura yang memenangi perak, manakala gangsa menjadi milik pelumba Taiwan, Lin Jhih Yan.

“Terima kasih diucapkan kepada semua yang memberikan sokongan dan doa untuk saya dan rakan sepasukan. Semoga pasukan lumba basikal Malaysia akan terus cemerlang. Insya ALLAH,” ujar Azizulhasni.