Bina muzium sejarah di Hulu Terengganu

Warga SMK Tun Indera yang terlibat jayakan gotong-royong di Makam Tun Indera di Kampung Kuala Menjing, Hulu Terengganu bergambar kenangan bersama Che Muhamad Azmi (tengah).
Warga SMK Tun Indera yang terlibat jayakan gotong-royong di Makam Tun Indera di Kampung Kuala Menjing, Hulu Terengganu bergambar kenangan bersama Che Muhamad Azmi (tengah).
A
A
A

HULU TERENGGANU - Sebuah muzium sejarah wajar dan sesuai dibina di daerah ini agar segala khazanah dapat terus terpelihara memandangkan Hulu Terengganu sememangnya begitu kaya dengan nilai sejarah.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah berkata, pembangunan itu kelak mampu menjadi satu mercu tanda tersendiri kerana sejarah Terengganu sendiri banyak bermula di daerah Hulu Terengganu.

"Nama Terengganu Darul Iman dikatakan punyai kaitan rapat dengan Hulu Terengganu. Daerah ini juga terbukti merupakan tempat terawal terima agama Islam di rantau ini dengan penemuan Batu Bersurat di Kampung Buluh.

"Daerah Hulu Terengganu ini juga pernah jadi tempat kunjungan dan bermastautin tokoh-tokoh agama.

"Semuanya terbukti dengan penemuan banyak makam-makam bersejarah termasuk Makam Tun Indera di sini," katanya.

Menurutnya, selain itu juga, ia turut menjadi tumpuan pahlawan Melayu seperti Tok Gajah serta Tok Janggut.

Che Muhamad Azmi
Che Muhamad Azmi

"Peristiwa Padang Kachung di Kuala Telemong juga satu nilai sejarah yang besar dan begitu bermakna.

Artikel Berkaitan:

"Segalanya bermula di sini (Hulu Terengganu) dan kerana itulah wajar sebuah muzium sejarah dibangunkan di daerah ini.

"Muzium bukan hanya muatkan sejarah Hulu Terengganu tetapi juga Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas program Jejak Tun Indera sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Kampung Kuala Menjing di sini.

Program anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Indera yang melibatkan aktiviti gotong-royong membersihkan makam bersejarah itu diketuai pengetuanya, Mohd Rani Muda.

Tambah Che Muhamad Azmi, pihaknya berharap perancangan wujudkan sebuah muzium berdekatan Memorial Batu Bersurat, di Kampung Buluh dirancang kerajaan negeri suatu masa dahulu dapat menjadi satu kenyataan.

Sementara itu, Mohd Rani, berkata program julung kali diadakan pihak sekolah itu disertai 60 pelajar lelaki tingkatan satu, dua dan empat termasuk guru serta komuniti setempat.

Katanya, pihaknya memilih makam bersejarah yang terletak kira-kira tiga kilometer daripada sekolah itu memandangkan nama tokoh tersebut menjadi nama sekolah dan bagi semarakkan lagi semangat merdeka mereka berjalan kaki daripada sekolah.