Beri peluang kepada syarikat tempatan

Tutucars mula beroperasi sejak Mei lalu dengan menawarkan perkhimatan e-hailing yang lebih murah kepada penumpang.
Tutucars mula beroperasi sejak Mei lalu dengan menawarkan perkhimatan e-hailing yang lebih murah kepada penumpang.
A
A
A

BUTTERWORTH - Kerajaan digesa untuk menilai kepakaran dan kebolehan syarikat tempatan dalam melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal di negara ini.

Pengarah Operasi Tutucars Sdn Bhd, Jason Chan berkata, terdapat lebih daripada 30 syarikat operator e-hailing di negara ini yang mempunyai kepakaran dan mampu melaksana perkhidmatan teksi motosikal dan kerajaan tidak sepatutnya membawa masuk syarikat asing untuk menguruskan perkhidmatan itu.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya lebih menghargai kebolehan anak tempatan daripada memberi peluang negara luar untuk membuat keuntungan di negara ini.

"Sebelum ini ada sebuah syarikat pernah melaksanakan sistem perkhidmatan teksi bermotosikal ini namun diharamkan kononnya tidak selamat dan banyak alasan lain namun kini kerajaan mahu melaksanakan semula dengan memberi gambaran akan membawa masuk Gojek syarikat dari Indonesia.

"Kita mempunyai kepakaran dan kebolehan malah lebih boleh buat lebih baik daripada mereka (Gojek), kenapa tidak beri peluang kepada anak tempatan dan berbincang dengan penyedia perkhidmatan e-hailing tempatan dahulu?" katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Jason
Jason

Isu Gojek menarik perhatian rakyat Malaysia, selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat mahu memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal itu di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof juga memberitahu media Kabinet bersetuju dengan cadangan mewujudkan perkhidmatan Gojek dan jemaah menteri memutuskan agar kajian daripada sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu, sebelum ia dilaksanakan

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Jason berkata, beberapa syarikat penghantaran makanan yang beroperasi di negara ini telah membuktikan kebolehan dalam menyediakan perkhidmatan mereka dengan baik namun kaedahnya sedikit berbeza dengan teksi bermotosikal dan ia sepatutnya dilihat oleh kerajaan selain tidak sepatutnya syarikat luar dibawa masuk ke negara ini untuk bersaing dengan syarikat tempatan.

Katanya, tindakan Kabinet meluluskan perkhidmatan Gojek sangat mengejutkan dan menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kredibiliti keputusan yang dibuat kerajaan.

Jason (dua dari kanan) bersama pegawai operasi Tutucars Sdn Bhd pada sidang media yang diadakan hari ini.
Jason (dua dari kanan) bersama pegawai operasi Tutucars Sdn Bhd pada sidang media yang diadakan hari ini.

Beliau mempersoalkan adakah kerajaan telah melakukan kajian dan penilaian awam terlebih dahulu sebelum melaksanakan atau membawa masuk perkhidmatan Gojek.

"Tindakan kerajaan membuat keputusan terburu-buru hanya akan menimbulkan kekeliruan di kemudian hari.

"Kerajaan seharusnya mengambil teladan dalam perlaksanaan perkhidmatan e-hailing sebelum ini yang dilihat agak kelam kabut dan mempunyai pelbagai masalah sehinggakan terdapat percanggahan peraturan dan perundangan di peringkat penguatkuasaan agensi kerajaan seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Jabatan Pengangkutan Jalan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil masa yang lebih untuk merangka pelan dan peraturan dalam melaksanakan perkhidmatan teksi bermotosikal ini supaya ia akan dilaksanakan dengan baik serta berkesan dan bukannya hanya semata-mata mahu menawarkan peluang pekerjaan kepada anak muda.

Eksekutif Operasi Tutucars Sdn Bhd, Arina Halim menunjukkan aplikasi e-hailing yang dibangunkan syarikatnya.
Eksekutif Operasi Tutucars Sdn Bhd, Arina Halim menunjukkan aplikasi e-hailing yang dibangunkan syarikatnya.

Tambahnya, sekiranya kerajaan membuat undang-undang dan syarat tergesa-gesa dalam perkhidmatan teksi bermotosikal dan kemudian membuat perubahan serta keluarkan peraturan baharu dalam tempoh tidak sampai sebulan ia hanya akan menjadi bahan jenaka dan pandangan sinis dari negara luar.

"Jadi kami harap kerajaan membuat penilaian dan peraturan dengan baik, jangan terburu-buru dan sudah semestinya berbincanglah dan dengar pendapat kami syarikat e-hailing tempatan.

"Kami tidak membantah perlaksanaan ini (perkhidmatan teksi motosikal) tapi pandang sama kebolehan dan kepakaran anak tempatan," katanya.

Tutucars melancarkan operasi dan perkhidmatan e-hailing pada Mei lalu.
Tutucars melancarkan operasi dan perkhidmatan e-hailing pada Mei lalu.

Syarikat Tutucars Sdn Bhd melancarkan aplikasi perkhidmatan e-hailing bagi memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan yang jauh lebih murah daripada aplikasi lain selain menawarkan pelbagai diskaun kepada orang ramai.

Aplikasi ini yang dilancarkan pada 20 Mei lalu dibangunkan oleh beberapa usahawan muda dan berkonsepkan tempatan selain penuh dengan informasi.

Setakat ini perkhidmatan Tutucars hanya beroperasi di Pulau Pinang dan akan dikembangkan di wilayah Utara dalam tempoh setahun akan datang.