Polis tembak mati dua penjenayah di Lahad Datu

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis menembak mati dua penjenayah dipercayai warga asing di perairan Sahabat 2 Lahad Datu Datu, malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata identiti kedua-dua lelaki berusia antara 30-40an itu belum dapat dikenali pasti.

Katanya turut dirampas dalam kejadian itu adalah selaras senjata api jenis Garanad bersama satu kelopak, dua butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru.

"Polis tidak menolak kemungkinan mereka anggota penjenayah yang cuba mengesan mangsa untuk diculik atau mahu membuat tindakan keganasan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata sepasukan pegawai dan anggota polis yang membuat rondaan di perairan tersebut telah mengesan dua pam bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 11 malam.

Katanya semasa membuat pintasan dalam keadaan lampu biru polis dinyalakan dan siren dibunyikan, suspek telah melepaskan tembakan ke arah bot pasukan keselamatan.

Menurutnya bagi tujuan mempertahankan diri, anggota polis telah melepaskan beberapa tembakan balas dan satu pam bot lagi telah melarikan diri ke perairan Filipina.

Omar berkata setelah keadaan reda, pemeriksaan dijalankan kemudian menjumpai dua lelaki yang mati di tembak dalam kejadian itu dengan seorang berada di atas pam bot dan seorang lagi dijumpai terapung.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata kedua-dua mayat lelaki itu dan sebuah pam bot berserta enjin telah dibawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Lahad Datu.

"Kejadian berlaku kira-kira 10 batu nautika dari pantai Felda Sahabat dan polis percaya dua suspek ini dan satu lagi pam bot mahu melakukan jenayah. Alhamdulillah polis dapat mengesan awal," katanya.

Omar berkata polis mengambil cap jari mayat dua lelaki itu untuk mengesan identiti mereka dalam siasatan lanjut dijalankan termasuk jika dua lelaki ini ada kaitan dengan ahli kumpulan culik untuk tebusan.

Dalam pada itu, Omar berkata polis sentiasa siapa sedia dan menjalankan rondaan rapi sekitar perairan timur negeri ini bagi mengelak insiden pencerobohan khususnya jenayah culik.- Bernama