Sarawak Report: Gesa SPRM siasat, jangan pilih kasih

Mohd Azam
Mohd Azam
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat laporan portal Sarawak Report pada 19 Ogos berhubung penglibatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir membabitkan 1,000 hektar kawasan pembalakan di Sarawak pada 1994.

Ketua Penerangannya, Mohd Azam Abd Samat berkata, pihaknya mahu SPRM bertindak telus dan jangan bersikap pilih kasih, apabila dakwaan itu melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, pihaknya meneliti laporan Sarawak Report terhadap penglibatan Mukhriz dalam penganugerahan tanah di Sarawak dan menyifatkan ia kemungkinan antara usaha menjatuhkan Mukhriz dan merupakan mainan politik tidak sihat.

“Pas pun pernah ada pengalaman fitnah dimainkan oleh Sarawak Report sebelum PRU14. Isu RM90 juta sengaja ditimbulkan bagi wujudkan persepsi buruk terhadap Pas tanpa mengira sumber sahih,” katanya.

Mohd Azam berkata, sehubungan itu, dakwaan Sarawak Report itu perlu disiasat SPRM memandangkan ada kenyataan balas Mukhriz, yang disiarkan dalam sebuah portal pada 27 Ogos lalu.

“Pas Kedah juga mahu fail siasatan terhadap pimpinan PH yang ‘didiamkan’ atau ditutup, dibuka kembali.

"Ini membabitkan isu banglo mewah, pembinaan terowong dasar laut yang di peringkat kajian melibatkan ratusan juta, sedangkan rakyat masih menunggu jawapannya,” katanya.

Menurutnya, Pas mahu prinsip keadilan ditegakkan, selain menyifatkan pendakwaan terpilih merupakan ketempangan dalam sistem kehakiman negara.

“Apakah konsep Malaysia Baharu dilaungkan PH sekadar ‘tin kosong’, berbunyi kuat, hakikatnya penuh tipu daya,” katanya, sinis.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap, Jasnizam Husni turut menggesa SPRM lakukan siasatan berhubung penglibatan Mukhriz dalam isu terbabit.