Kajian reka bentuk jambatan ganti terowong dasar laut sedang dilaksanakan - Zairil

Zairil pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.
Zairil pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang meluluskan kajian penjajaran semula Laluan Ketiga Pulau Pinang menggunakan konsep reka bentuk jambatan sebagai alternatif kepada cadangan terowong dasar laut sebelum ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kajian itu mengambil kira perancangan pembesaran Pelabuhan Pulau Pinang serta keperluan mengurangkan kesesakan trafik di kawasan Gurney Bay dan sekitarnya.

Menurutnya, cadangan penjajaran semula itu membabitkan peralihan laluan ke arah utara bagi memastikan kesesuaian dengan perancangan pembesaran pelabuhan selain mengelakkan gangguan terhadap operasi pelabuhan dan laluan navigasi kapal.

“Pada masa ini, kajian reka bentuk konsep (conceptual design) sedang dilaksanakan dan hasilnya akan dibentangkan kepada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) untuk mendapatkan maklum balas serta pertimbangan lanjut,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Teh Lai Heng (DAP- Komtar) berhubung status terkini tiga projek lebuh raya dan satu terowong dasar laut di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) sehingga September 2026.

Zairil (DAP- Tanjung Bungah) berkata, penelitian terhadap projek itu bertujuan memastikan keputusan pelaksanaan mengambil kira aspek kebolehlaksanaan teknikal, implikasi kewangan, keperluan mobiliti rakyat, keselamatan pelayaran dan navigasi marin serta manfaat jangka panjang terhadap pembangunan sosioekonomi negeri.

Menurutnya, keempat-empat pakej projek berkenaan berada pada peringkat pelaksanaan dan perancangan berbeza dengan hanya Pakej 1 sedang dilaksanakan ketika ini.

Beliau berkata, projek Jalan Berkembar Pantai Utara (NCPR) melibatkan cadangan laluan dari kawasan Tanjung Bungah hingga Teluk Bahang.

Projek NCPR merupakan sebahagian daripada projek tiga jalan utama dan terowong yang dianugerahkan pada 2013 dengan melibatkan pembinaan lebuh raya sepanjang 10.61 kilometer (km) meliputi 8.41km laluan darat dan 2.2km laluan jejambat pesisir menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang.

Artikel Berkaitan:

Pembinaannya sepatutnya dijangka bermula pada 2026 dan siap menjelang 2031.

Apabila siap kelak, masa perjalanan dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang dijangka berkurangan dari 30 hingga 45 minit pada waktu puncak kepada hanya tujuh minit.

Dalam perkembangaan sama, Zairil berkata, kerajaan negeri sedang meneliti semula sebahagian jajaran projek bagi memastikan cadangan yang dikemukakan mengambil kira kesesuaian teknikal, sensitiviti kawasan setempat, kepadatan penduduk serta risiko hakisan tanah.

“Sehubungan itu, terma-terma dalam Sub-Agreement (SA) sedang dimuktamadkan sebelum dapat ditandatangani.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga dalam tindakan melaksanakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di sebahagian jajaran baharu,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan cadangan pembangunan yang dipertimbangkan mengambil kira keperluan pengangkutan, keselamatan dan kepentingan penduduk setempat.

Sementara itu, bagi projek Jalan Pintasan Bandar Baharu Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pula, Zairil berkata, ia mencatatkan kemajuan fizikal 93.19 peratus sehingga 30 September lalu.

Katanya, projek itu dijangka siap pada April 2027 dan hanya akan dibuka kepada pengguna jalan raya selepas kerja pengujian serta pentauliahan dilaksanakan dan Audit Keselamatan Jalan (RSA) diluluskan.

“Baki komponen kerja yang perlu diselesaikan melibatkan pemasangan parapet, median New Jersey Barrier (NJB), rainwater down pipe, lampu jalan, lampu isyarat, papan tanda jalan, kerja expansion joint, turapan premix serta pengujian dan pentauliahan,” katanya.

Beliau berkata, nilai tuntutan bagi Pakej 2 yang diperakukan sehingga 12 Ogos 2026 itu adalah sebanyak RM695.977 juta atau 81.69 peratus daripada harga kontrak.

Menurutnya, projek itu menggunakan kontrak Design and Build (D&B) yang diubah suai dengan kaedah pembayaran bukan secara tunai sebaliknya melalui pemindahan tanah secara berperingkat selaras dengan kemajuan kerja.

“Jumlah harga kontrak semasa adalah sebanyak RM851.970 juta.

“Sehingga 20 Disember 2024, jumlah bayaran yang telah dibuat kepada kontraktor bagi Projek Pakej 2 secara land swap melibatkan tanah kerajaan seluas 11.6183 ekar bersamaan nilai kerja berjumlah RM427.657 juta,” katanya.

Zairil berkata, merujuk kepada harga kontrak semasa, baki bagi kemajuan kerja terkini yang belum dijelaskan adalah bernilai RM231.344 juta.

"Bagi Pakej 3: Lebuh Raya dari Persiaran Gurney ke Tun Dr Lim Chong Eu Bypass, projek pembinaan jaringan lebuh raya dari Persiaran Gurney ke Jalan Pintasan Tun Dr Lim Chong Eu masih dalam peringkat kajian semula oleh kerajaan negeri.

Katanya, sebarang keputusan berhubung hala tuju dan pelaksanaan projek itu akan ditentukan berdasarkan hasil kajian serta pertimbangan kerajaan negeri.

“Perkembangan lanjut mengenai status projek akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!