X

Kindly register in order to view this article
!

Letak jawatan jika diberi pilihan: Carrie Lam

Carrie Lam. - Foto AFP
A
A

HONG KONG - Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berkata, beliau telah mencetuskan 'huru-hara yang tidak boleh dimaafkan' susulan krisis politik yang membelenggu hab kewangan itu dan akan meletak jawatan sekiranya diberi pilihan.

Berdasarkan rakaman audio ketika satu mesyuarat tertutup bersama sekumpulan ahli perniagaan minggu lalu, Lam memberitahu beliau mempunyai 'kemampuan terhad' untuk menyelesaikan krisis Hong Kong kerana ia kini menjadi isu keselamatan negara dan kedaulatan bagi China di tengah-tengah ketegangan memuncak dengan Amerika Syarikat.

"Sekiranya saya mempunyai pilihan, perkara pertama adalah meletak jawatan selepas memohon maaf.

"Untuk seorang ketua eksekutif menjadi punca pergolakan besar di Hong Kong adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan," kata Lam.

Menurutnya, ruang politik untuk ketua eksekutif yang terpaksa melayani dua ketua berdasarkan perlembagaan, pemerintah pusat dan rakyat Hong Kong, menjadi amat terhad.

Dalam pada itu, tiga individu yang menghadiri mesyuarat itu mengesahkan Lam membuat kenyataan terbabit ketika pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit.

Pertemuan itu merupakan salah satu daripada sesi tertutup yang dilakukan Lam dengan warga pelbagai lapisan masyarakat di Hong Kong.

Hong Kong dibelenggu protes ganas dan demonstrasi besar-besaran sejak Jun lalu susulan cadangan rang undang-undang ekstradisi oleh pentadbiran Lam yang akan membolehkan mereka yang disyaki melakukan jenayah diekstradisi ke China.

Meskipun pelan ekstradisi terbabit telah digantung namun Lam gagal untuk menamatkan pergolakan.

Penunjuk perasaan berterusan mengadakan demonstrasi mega yang melumpuhkan bandar raya itu bagi menuntut penarikan semula sepenuhnya cadangan rang undang-undang ekstradisi terbabit selain mendesak siasatan terhadap keganasan polis dan reformasi politik.Mereka turut mahu Beijing berhenti campur tangan dalam urusan Hong Kong.

Dalam pada itu, menurut Lam, Beijing setakat ini tidak menyatakan sebarang tarikh akhir bagi menamatkan krisis Hong Kong menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang dijadual pada 1 Oktober ini.

Beliau menambah, China juga tidak merancang untuk mengerahkan pasukan tentera ke Hong Kong kerana kepimpinan di Beijing sedar kemungkinan reputasi China terjejas sekiranya ia menghantar tentera bagi menamatkan protes. - Reuters


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus