Arab Saudi, Pakistan, Turkiye bincang mesyuarat tergempar pertahanan

Ketiga-tiga menteri "mengutuk sekeras-kerasnya” serangan yang cuba menyasarkan Makkah serta kemudahan awam dan ekonomi di Arab Saudi.
Ketiga-tiga menteri "mengutuk sekeras-kerasnya” serangan yang cuba menyasarkan Makkah serta kemudahan awam dan ekonomi di Arab Saudi.
A
A
A

BRUSSELS - Menteri luar Arab Saudi, Pakistan dan Türkiye membincangkan persiapan untuk mengadakan mesyuarat tergempar ketua-ketua staf angkatan tentera ketiga-tiga negara bagi meneliti bentuk sokongan kepada Arab Saudi di bawah Perjanjian Pertahanan Makkah, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Saudi Gazette.

Putera Faisal bin Farhan, Ishaq Dar dan Hakan Fidan mengadakan rundingan di ibu pejabat perwakilan tetap Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Mereka meneliti persiapan bagi mesyuarat ketua-ketua staf berkenaan yang dijangka membincangkan mekanisme untuk menyokong Arab Saudi selaras dengan komitmen di bawah perjanjian pertahanan itu.

Perjanjian Makkah menetapkan bahawa serangan terhadap mana-mana satu pihak dianggap sebagai serangan terhadap semua pihak.

Dalam pertemuan itu, ketiga-tiga menteri "mengutuk sekeras-kerasnya” serangan yang cuba menyasarkan Makkah serta kemudahan awam dan ekonomi di Arab Saudi.

Mereka turut membincangkan perkembangan terkini di rantau itu serta menekankan kepentingan mematuhi undang-undang antarabangsa, mengekalkan hubungan kejiranan yang baik, menghormati kedaulatan negara dan tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain.

Mereka juga menegaskan kepentingan menjamin keselamatan dan kebebasan pelayaran di perairan serantau.

Ketiga-tiga menteri turut memperbaharui komitmen untuk berusaha ke arah keamanan dan kestabilan yang berkekalan di rantau itu, selain menyokong usaha meredakan ketegangan dan mencari penyelesaian aman terhadap krisis yang berterusan. - Bernama-Anadolu

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!