Bekas pegawai kanan polis Indonesia didakwa nikmati kemudahan mewah dalam penjara

JAKARTA - Bekas pegawai kanan polis Indonesia, Ferdy Sambo yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana pembunuhan terancang terhadap pengawal peribadinya, Brigadir Yosua, didakwa menikmati kemudahan mewah di Penjara Kelas IIA Cibinong, Jawa Barat.
Dakwaan itu timbul selepas Ombudsman Republik Indonesia (ORI), badan pemantau perkhidmatan awam negara itu melakukan pemeriksaan mengejut di penjara berkenaan pada Rabu.
Anggota ORI, Fikri Yasin berkata, pasukannya menemukan lebih 10 bilik atau bangunan di bahagian belakang kompleks penjara yang mempunyai kemudahan jauh lebih lengkap berbanding blok kediaman banduan biasa.
Bangunan berkenaan disifatkan mempunyai kemudahan bertaraf apartmen termasuk ruang tamu, bilik tidur, dapur serta pelbagai kelengkapan rumah.
“Bagus, sangat bagus. Bertaraf apartmen. Walaupun kecil, semua kelengkapannya ada,” katanya.
Lebih mengejutkan, pasukan Ombudsman turut melihat beberapa kenderaan mewah diletakkan di kawasan sama, termasuk sebuah Toyota Alphard.
Penemuan itu menimbulkan persoalan mengenai pengurusan kawasan berkenaan, lebih-lebih lagi selepas Ombudsman mendakwa pasukannya berdepan halangan ketika mahu memasuki kawasan penjara.
Bagaimanapun, ORI belum dapat memastikan pemilik Toyota Alphard tersebut atau sama ada kenderaan itu mempunyai kaitan dengan Sambo, banduan lain, pegawai penjara atau pihak lain.
Oleh itu, dakwaan bahawa Sambo sendiri menggunakan kenderaan mewah tersebut masih belum dapat disahkan.
Sambo menghuni Penjara Cibinong sejak Ogos 2023 selepas dipindahkan dari Penjara Salemba.
Bekas Ketua Bahagian Profesion dan Keselamatan Polis Indonesia itu sebelum ini dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah melakukan pembunuhan terancang terhadap Brigadir Yosua.
Mahkamah Agung Indonesia kemudian mengurangkan hukuman mati tersebut kepada penjara seumur hidup selepas menerima rayuannya.
Penemuan terbaharu Ombudsman kini menjadi sebahagian daripada perkara yang akan didalami bagi menentukan pihak yang menggunakan kemudahan eksklusif berkenaan serta bagaimana ia boleh wujud dalam kawasan penjara. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

