Rohingya tuntut pelan jelas untuk pulang ke Myanmar

Hasrat berkenaan di sampaikan pemimpin Rohingya pada Khamis. Foto: Agensi
Hasrat berkenaan di sampaikan pemimpin Rohingya pada Khamis. Foto: Agensi
A
A
A

COX'S BAZAR – Pemimpin Rohingya mendesak masyarakat antarabangsa menyediakan pelan jelas dengan tempoh khusus bagi membolehkan komuniti itu pulang ke Myanmar secara selamat, sukarela, bermaruah dan mampan.

Presiden pengasas United Council of Rohingya (UCR), Maulvi Sayed Ullah berkata, komuniti Rohingya sudah sembilan tahun tinggal di kem pelarian Cox's Bazar, Bangladesh dengan bergantung kepada bantuan antarabangsa.

Menurutnya, keputusan konkrit mengenai masa depan mereka perlu dibuat selepas bertahun-tahun hidup dalam keadaan tidak menentu.

“Tiada lagi perpindahan tanpa penghujung. Sudah tiba masanya mewujudkan keadaan yang membolehkan Rohingya pulang ke tanah air.

“Krisis ini tidak boleh diselesaikan dengan membiarkan Rohingya terus berada di kem untuk tempoh tidak ditentukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perhimpunan di hadapan pejabat sementara UCR di Kem Rohingya 15, Ukhiya pada Khamis.

Perhimpunan itu diadakan sehari selepas Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman menyeru pelan jelas dan boleh dipercayai bagi mempercepatkan penghantaran pulang Rohingya ketika menghadiri acara peringkat tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

UCR turut menggesa PBB dan negara anggotanya tidak sekadar menyatakan solidariti serta komitmen, sebaliknya menyediakan rancangan khusus untuk proses penghantaran pulang.

Menurut pemimpin pertubuhan itu, penyelesaian mampan perlu menangani punca krisis di Myanmar termasuk menghentikan keganasan dan penganiayaan terhadap Rohingya.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut menuntut keadaan yang menjamin hak kewarganegaraan, keselamatan, kebebasan bergerak serta kehidupan bermaruah diwujudkan sebelum komuniti berkenaan kembali ke Myanmar.

UCR pada masa sama menggesa pihak bertanggungjawab terhadap keganasan dan penganiayaan Rohingya dibawa ke muka pengadilan menerusi mekanisme keadilan antarabangsa termasuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pemimpin Rohingya, Master Mohammad Soib berkata, perbincangan semata-mata tidak akan memastikan proses penghantaran pulang dapat dilaksanakan.

“Keadaan mesti diwujudkan di Myanmar supaya Rohingya dapat pulang ke rumah dengan selamat dan bermaruah,” katanya.

Pemimpin wanita Rohingya, Sajida Begum pula berkata, golongan wanita terus berdepan pelbagai kesukaran sepanjang tempoh perpindahan yang berpanjangan.

UCR turut menyeru PBB, negara serantau dan masyarakat antarabangsa menyelaraskan usaha menyelesaikan krisis berkenaan sambil meneruskan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!