Penuntut IPTA dicekup bersekedudukan

Operasi bagi mengekang aktiviti maksiat yang dijalankan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sekitar bandaraya Melaka malam tadi.
Operasi bagi mengekang aktiviti maksiat yang dijalankan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sekitar bandaraya Melaka malam tadi.
A
A
A

MELAKA - Hasrat sepasang kekasih untuk bermalam di sebuah hotel bajet sempena cuti umum tidak kesampaian apabila dicekup sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) malam tadi.

Pasangan berkenaan yang juga penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor ditahan kira-kira jam 2.30 pagi selepas didapati bersekedudukan di dalam bilik sebuah hotel bajet di Bachang.

Kedua-dua mereka juga mendakwa baru mendaftar masuk ke hotel berkenaan selepas Maghrib dan menginap di situ hanya untuk satu malam.

Menurut sumber, operasi yang diketuai Pegawai Penguatkuasa JAIM, Mohd Arif Ariffin Abu Bakar itu dijalankan lebih empat jam bermula 10.30 malam bagi mengekang aktiviti maksiat.

"Dalam operasi ini sebanyak lima hotel bajet di Cheng, Klebang dan Kampung Lapan yang sering menjadi tumpuan diperiksa.

"Hasilnya, 10 individu termasuk lima wanita berusia 21 hingga 40 tahun ditahan selepas didapati tinggal berdua-dua di dalam bilik dengan pasangan bukan mahram," katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIM, Md Azhan Samat ketika dihubungi mengesahkan tangkapan 10 individu berkenaan.

"Kesemua mereka kemudian dibawa balik ke pejabat JAIM untuk diambil keterangan bagi tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkurung mendatangkan syak," katanya.