Netanyahu ulang janji rampas Tebing Barat

Lebih 400,000 pendatang Yahudi tinggal di penempatan haram di Tebing Barat.
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini memperbaharui janji beliau untuk merampas Tebing Barat dalam usaha untuk meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Umum pada 17 September depan.

Netanyahu bersama Parti Likud pimpinannya kini sedang berhempas-pulas mendapatkan sokongan parti haluan kanan lain untuk memancing undi.

Beliau membuat janji sama ketika pemilihan pada April lalu, namun keputusan tersebut menyebabkan kerajaan gabungan tidak dapat dibentuk hingga beliau memutuskan untuk mengadakan pilihan raya baharu.

Israel menduduki sebahagian Tebing Barat ketika Perang Enam Hari 1967 dan penempatan haram Yahudi didakwa melanggar undang-undang antarabangsa dan merupakan halangan utama kepada perjanjian damai dengan Palestin.

Rancangan Tel Aviv mahu merampas keseluruhan Tebing Barat akan memusnahkan harapan Palestin untuk menjadi sebuah negara merdeka.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat dalam satu kenyataan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan terhadap janji dibuat Netanyahu.

"PM Israel mengumumkan langkah untuk meluaskan pendudukan di Tebing Barat. Cukup dengan hukuman ini: Menjadi tanggungjawab antarabangsa untuk mengenakan sekatan terhadap Israel selepas jenayah sistematik dilakukan mereka selama beberapa dekad," katanya menerusi Twitter.

Lebih 400,000 pendatang Yahudi menetap di penempatan haram di Tebing Barat manakala 200,000 yang lain tinggal di Baitulmaqdis Timur di mana Israel secara unilateral mengumumkan kedaulatan penuh terhadap wilayah itu.

Jun lalu, Duta Amerika Syarikat ke Israel, David Friedman berkata, Israel kononnya mempunyai hak untuk merampas keseluruhan Tebing Barat. - Agensi