Tokoh Maal Hijrah harap Mahkamah Syariah setaraf Mahkamah Sivil

Muhammad Asri menunjukkan anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak diterimanya sambil ditemani isteri, Haziana Abd Mutalib dan dua anak lelakinya, Ahmad Ammar, 33, (kanan) dan Aadil Ehsani, 27.
Muhammad Asri menunjukkan anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak diterimanya sambil ditemani isteri, Haziana Abd Mutalib dan dua anak lelakinya, Ahmad Ammar, 33, (kanan) dan Aadil Ehsani, 27.
A
A
A

IPOH - Perjuangan untuk meningkatkan taraf institusi kehakiman syariah di negara ini perlu dilakukan tanpa putus asa oleh semua pihak.

Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak, Datuk Muhammad Asri Abdullah, 65, berkata, selama berkhidmat dalam bidang kehakiman syariah di Malaysia, beliau mengimpikan struktur Mahkamah Syariah di Malaysia setaraf Mahkamah Sivil.

Menurutnya, beliau antara individu terawal merangka struktur Mahkamah Syariah Perak selepas Jabatan Kehakiman Syariah Perak diwujudkan pada 1995 selepas dipisahkan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

"Antara yang paling saya impikan ialah Mahkamah Syariah ditingkatkan daripada tiga lapis iaitu mahkamah rendah syariah, mahkamah tinggi syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah kepada lima peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tengah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Majlis Rayuan Syariah Malaysia.

"Cadangan itu telah dibawa kepada kerajaan dan Majlis Raja-Raja untuk dipertimbangkan pelaksanaannya," katanya kepada pemberita selepas menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441 Negeri Perak sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Muhammad Asri yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah berkata, jika kedudukan Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Sivil, institusi kehakiman syariah sukar bersaing dan memberi perkhidmatan terbaik.

Menurutnya, pelaksanaan struktur baharu Mahkamah Syariah itu nanti akan meletakkan beberapa perkara yang selama ini terpisah dilaksanakan pihak lain seperti pembahagian pusaka dan sebagainya di bawah Mahkamah Syariah.

Beliau yang pernah menjadi Kadi Besar Negeri Perak berkata, usaha itu mampu direalisasikan jika semua pihak bersama-sama berjuang memastikan pelaksanaannya.

Artikel Berkaitan:

Penyampaian anugerah Tokoh Maal Hijrah itu disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang turut berkenan menyampaikan tiga lagi anugerah lain iaitu Anugerah Ar-Ridzuan, Pengurusan Masjid Terbaik dan Pengurusan Perkuburan Islam Terbaik.

Anugerah Ar-Ridzuan diterima Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) Perak, Datuk Dr Abu Bakar Shaari manakala Masjid Jamek Pengkalan Hulu dinobat Pengurusan Masjid Terbaik Negeri Perak dan Tanah Perkuburan Islam Pekan Kecil Tapah Road dianugerahkan sebagai Pengurusan Perkuburan Islam Terbaik.