Gusar media baharu runtuhkan sistem nilai: MB Kelantan

446073
446073
A
A
A

TANAH MERAH - Penggunaan media sosial disifatkan sebagai medium penjajahan bentuk baharu dan boleh mempengaruhi masyarakat terjebak dengan unsur-unsur negatif.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob turut melahirkan kebimbangan terhadap perkara itu berkata, beliau khuatir ia mampu menjejaskan nilai murni dalam masyarakat sekiranya penggunaan media baharu itu tidak terkawal.

Menurutnya, masyarakat perlu mengambil berat terhadap situasi berkenaan bagi 'membebaskan' diri dan masyarakat daripada perlakuan tidak bermoral.

"Arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan kini menyebabkan pelbagai budaya dan fahaman yang bukan sahaja menyalahi tuntutan agama bahkan menyimpang daripada adat dan sosio budaya ketimuran.

"Sehubungan itu, kita seharusnya bimbang apabila pelbagai anasir tidak sihat meresap dalam masyarakat kita terutama generasi muda kerana ia bakal meruntuhkan sistem nilai dalam masyarakat.

"Apa guna makna kemerdekaan jika masyarakat bergelumang dengan pelbagai penyakit sosial, negara pincang dengan pelbagai kes jenayah dan rasuah," katanya ketika berucap selepas Majlis Sambutan Merdeka Peringkat Negeri Kelantan di Padang Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) hari ini.

Seramai 2,500 peserta melibatkan 62 kontinjen pelbagai agensi di Kelantan menyertai acara perbarisan sempena sambutan tersebut yang turut dimeriahkan dengan persembahan kesenian dan seni bela diri.

Sementara itu, Ahmad turut memberitahu, rakyat di negeri ini perlu sama-sama menghayati erti kemerdekaan sebenar dengan menerapkan budaya saling mengambil berat antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hubungan harmoni sesama kaum perlu terus diperkukuhkan di negeri dan negara ini melalui sikap saling hormat-menghormati.

"Walaupun pegangan agama dan adat resam yang berlainan, namun ia tidak bererti kita menjadikan perbezaan tersebut sebagai asas kepada perpecahan.

"Sama-samalah kita doakan semoga negeri dan negara kita sentiasa selamat dan sejahtera serta dijauhkan daripada bencana penjajahan pemikiran yang boleh merosakkan kerukunan dan keamanan negara," katanya.