Tun M, Anwar perlu perjelas hasil KBN 2018

Nordin Abdul Malek
Nordin Abdul Malek
A
A
A

IPOH - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memberi penjelasan mengenai hasil penganjuran Kongres Masa Depan Bumiputera Negara 2018 (KBN 2018) yang diadakan pada 1 September tahun lalu.

Pengerusi Gabungan Institut Kemahiran Swasta Bumiputera, Nordin Abdul Malek berkata, berdasarkan maklumat daripada beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bumiputera yang hadir pada kongres tersebut, tidak ada sebarang inisiatif atau program susulan dilaksanakan setelah setahun penganjuran itu diadakan.

Menurutnya, ketika KBN 2018 dilaksanakan, seluruh rakyat Malaysia khususnya bumiputera telah dicanangkan bahawa KBN akan menjadi platform kepada usaha kerajaan untuk membentuk Agenda Pemerkasaan Bumiputera yang baharu.

"Kerajaan diminta mendedahkan segera, apakah prestasi dan keberhasilan sebagai inisiatif yang diwujudkan daripada KBN 2018 supaya kongres tersebut bukan sekadar untuk menyedapkan hati bumiputera untuk menyokong kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH).

"Ini penting terutama ketika bumiputera sedang resah dengan pelbagai kemelut, khasnya masa depan ekonomi yang tidak menentu lagi mencabar," katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian.

Selain itu katanya, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu merungkai tanda tanya ini memandangkan beliau turut hadir menyempurnakan perasmian penutup.

Dalam perkembangan sama, Nordin menjelaskan, beliau turut diberikan peluang untuk berdialog secara terus dengan perdana menteri pada kongres tersebut dengan memfokuskan kepada isu pemerkasaan sistem pendidikan terutama pendidikan kemahiran dan vokasional (TVET).

"Saya sendiri mendapati banyak isu pendidikan yang mendesak untuk golongan bumiputera khususnya berkaitan TVET yang semakin membimbangkan kerana gagal ditangani dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya kejatuhan jumlah pemegang Sijil Kemahiran Malaysia yang membimbangkan iaitu daripada 80,000 persijilan pada 2017, merudum kepada 59,000 pada tahun lalu. Dijangka lebih teruk tahun ini yang dianggarkan sekitar 40,000 sahaja sehingga akhir tahun. Rata-ratanya melibatkan golongan bumiputera khususnya belia Melayu," katanya.

Nordin berkata, malangnya sehingga kini tiada sebarang sesi perbincangan dan aktiviti kesinambungan diadakan untuk menjayakan resolusi KBN 2018.