Hargai keamanan, tolak sentimen perkauman

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengingatkan rakyat negara ini supaya menghargai keamanan dan menolak sentimen perkauman.

Dalam kenyataan bersama, Majlis Presiden PH berkata, 62 tahun lalu, kita bersama-sama telah bersepakat dan membuat keputusan bahawa negara ini milik kita bersama dan kitalah yang sepatutnya menguruskan kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya, supaya hasil kemakmuran bumi bertuah ini dapat dikongsi bersama.

"Menginsafi bahawa negara yang kita cintai sedang terus diasak sentimen perkauman, walaupun sudah 62 tahun bebas daripada ancaman penjajah.

"Malaysia tidak mempunyai pilihan lain, selain kembali ke garis tengah, dan meninggalkan segala prasangka serta fahaman lampau yang mengancam kesinambungan kejayaan rakyat negara ini yang telah melaksanakan sebuah perubahan politik yang begitu besar pada 9 Mei 2018," kata kenyataan itu hari ini.

Hal demikian, pada Hari Kebangsaan kali ini, Majlis Presiden PH yang terdiri daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama menghargai keamanan dan kesejahteraan yang telah dinikmati selama ini.

"Kita perlu mendidik diri dan keluarga serta jiran tetangga supaya saling memahami, bertoleransi dan melayani satu sama lain dengan berbuat kebaikan, serta menjauhi sikap melampau yang cuba dicetuskan pihak-pihak yang hanya melakukannya demi kepentingan politik mereka.

"Apa yang telah kita kecapi, boleh hilang dalam sekelip mata sekiranya kita gagal mengingatkan diri tentang pengorbanan dan kepayahan yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu, tidak kira pemimpin politik, anggota tentera yang telah gugur demi ibu pertiwi, serta seluruh anak bangsa yang telah memberikan jiwa dan raga mereka untuk negara," kata mereka.

Menurut kenyataan itu, pada tahun 1963, kita telah membentuk sebuah persekutuan bersama-sama Sabah dan Sarawak dan kemudiannya Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang majmuk dan kaya dengan pelbagai budaya serta tradisi.

Artikel Berkaitan:

"Meski berbilang keturunan, agama, bahasa, budaya dan adat resam, kita tidak pernah lelah dalam usaha membina sebuah bangsa yang tetap bersatu padu," katanya.