#QuranHour: Al-Kahf penyeri kemerdekaan

Suasana sewaktu berlangsungnya program Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. - FOTO ASRIL ASWANDI
Suasana sewaktu berlangsungnya program Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. - FOTO ASRIL ASWANDI
A
A
A

PUTRAJAYA - Tanggal 30 Ogos 2019 menjadi detik manis buat sahabat al-Quran apabila program Malaysia #QuranHour berlangsung semalam menyerikan lagi sambutan kemerdekaan negara hari ini.

Lebih 1,000 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, badan korporat serta warga sekitar Putrajaya dan Selangor menjayakan penganjuran di lokasi perdana Masjid Putra Putrajaya bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Alunan surah al-Kahf yang bergema di Masjid Putra secara tidak langsung menghangatkan lagi sambutan kemerdekaan di Dataran Putrajaya hari ini.

Bezanya, penganjuran kali ini memfokuskan surah al-Kahf untuk dibaca, tadabbur dan tazakkur disesuaikan dengan pesan kemerdekaan berpandukan 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah tersebut.

Penganjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Suasana sewaktu berlangsungnya program Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. FOTO ASRIL ASWANDI
Suasana sewaktu berlangsungnya program Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. FOTO ASRIL ASWANDI

Hadir sama, Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

Majlis dimulakan dengan bacaan 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah al-Kahf diketuai Pembawa Panji terdiri daripada Johan Qari Antarabangsa 2014, Ahmad Tirmizi Ali dan Johan Qari Antarabangsa 2011, Amirahman Abas.

Artikel Berkaitan:

Sesi tadabbur surah pula dijayakan oleh Penolong Pengarah Jakim, Mohd Hariri Mohamad Daud dan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail.

Majlis seterusnya diisi dengan Pesan Kemerdekaan daripada wakil anak muda, Muhammad Afiq Ismail, 23, dan tokoh korporat, Datuk Dr Mohd Daud Bakar yang juga Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Lebih menarik apabila pembacaannya turut diadakan secara serentak di 1,800 lokasi berdaftar di seluruh negara dan 11 lokasi di sembilan negara.

Dalam pada itu, tahun ini turut mencatat sejarah apabila berjaya merekodkan 1.46 bilion capaian di media sosial berbanding hampir 1.4 bilion sebelum ini ketika World #QuranHour.

Pelajar sekolah juga turut hadir pada Malaysia #QuranHour membaca surah Al-Khaf yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. - FOTO ROSLI TALIB
Pelajar sekolah juga turut hadir pada Malaysia #QuranHour membaca surah Al-Khaf yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. - FOTO ROSLI TALIB

Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, lebih 500 individu daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat Islam setempat tidak melepaskan peluang mengalunkan surah al-Kahf di Masjid Negeri, Seremban semalam.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri(JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli berkata, Malaysia #QuranHour digerakkan bersama Masjid Negeri, Rumah Ngaji Negeri Sembilan dan Wanita Perkim Seremban sekali gus

mencapai objektif selain menyuburkan lagi semangat cintakan al-Quran dalam masyarakat beragama Islam.

Di SABAH, penganjuran kali keempat Malaysia #QuranHour kali ini mendapat sambutan menggalakkan apabila Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dipenuhi kira-kira 200 peserta terdiri daripada kakitangan agensi, orang ramai serta pelajar sekolah sejak jam 9 pagi.

Di SARAWAK pula, lebih 500 peserta terdiri daripada murid-murid dan pelajar di negeri itu memenuhi dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan sejak jam 8 pagi untuk mengalunkan ayat surah al-Kahf secara berjemaah.

Suasana sewaktu berlangsungnya program Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. FOTO ASRIL ASWANDI
Suasana sewaktu berlangsungnya program Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. FOTO ASRIL ASWANDI

Di KEDAH, kawasan Masjid Sultanah Bahiyah bergema dengan alunan ayat daripada surah al-Kahf apabila kira-kira 420 umat Islam membacanya secara berjemaah semalam.

Urusetianya, Rosiah Ramli berkata, Malaysia #QuranHour dimulakan dengan solat tasbih secara berjemaah, tadabbur dan bacaan surah al-Waqiah sebelum bacaan surah al-Kafh yang diketuai pelajar Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR), Amir Hakim Md Noor.

Di PULAU PINANG pula, seramai 2,200 warga Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) termasuk penuntut menyertai Malaysia #QuranHour peringkat negeri semalam.

Pengarahnya, Rozaini Ahmad berkata, beliau amat berbesar hati dan bersyukur apabila KMPP dipilih sebagai lokasi penganjuran program ilmiah tersebut.

Sementara itu, Malaysia #QuranHour juga menarik minat umat Islam di seluruh dunia apabila turut melibatkan lokasi hot spot di 12 buah negara antaranya Jepun, Arab Saudi, Sepanyol, Argentina, Indonesia, Australia, Amerika Syarikat dan Jerman.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia #QuranHour sejajar dengan gagasan 'Rahmatan Lil Alamin'