Industri penternakan akuakultur Perak hampir lumpuh

Hampir 800 tan metrik ikan pelbagai spesies dari 24 kolam penternakan ikan sangkar di perairan Tanjung Piandang, Parit Buntar mati sejak Isnin lalu. (Gambar kecil, Yoong Qin)
Hampir 800 tan metrik ikan pelbagai spesies dari 24 kolam penternakan ikan sangkar di perairan Tanjung Piandang, Parit Buntar mati sejak Isnin lalu. (Gambar kecil, Yoong Qin)
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak mengakui industri penternakan akuakultur negeri itu hampir lumpuh susulan fenomena ikan ternakan sangkar mati di perairan Tanjung Piandang di sini sejak Isnin lalu mengakibatkan 24 pengusaha mengalami kerugian sekitar RM20 juta.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, berdasarkan maklumat awal Jabatan Perikanan Negeri Perak, kejadian tersebut paling teruk dalam sejarah industri apabila jumlah ikan yang mati dianggarkan hampir 800 tan metrik.

Abdul Yunus (tiga dari kanan) melihat ikan jenahak yang mati di kolam penternakan milik Yoong Qin.
Abdul Yunus (tiga dari kanan) melihat ikan jenahak yang mati di kolam penternakan milik Yoong Qin.

Menurutnya, pihaknya sedang menunggu laporan siasatan daripada Jabatan Perikatan bagi melihat punca sebenar kejadian itu yang menyebabkan banyak spesies ikan seperti jenahak, merah, bawal, siakap, nyok-nyok dan sebagainya mati.

"Berdasarkan maklumat awal, Jabatan Perikanan tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada kemerosotan kualiti air sehingga menyebabkan peratusan oksigen terlarut dalam air begitu rendah.

ARTIKEL BERKAITAN: 22 pengusaha ikan sangkar rugi lebih RM2 juta

"Keadaan itu mungkin disebabkan kehadiran plankton dan alga yang dibawa arus ke kawasan sangkar sebelum ini ditambah dengan senario air laut 'mati' ketika ini," katanya kepada media sewaktu mengadakan lawatan ke kawasan sangkar penternakan akuakultur di perairan Tanjung Piandang di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Perak, Zaki Mokhri dan Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.

Artikel Berkaitan:

Abdul Yunus berkata, satu perjumpaan khas akan diadakan antara pengusaha yang terjejas dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan nelayan setempat bagi membincangkan kaedah terbaik membantu mereka.

Menurutnya, pihaknya juga akan meneliti cadangan pengusaha yang meminta kerajaan negeri mengkaji penyediaan lokasi baharu lebih bersesuaian untuk mereka meneruskan pelaburan dalam industri itu pada masa hadapan.

"Kita akan kaji dan berbincang dengan Jabatan Perikanan, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian dan LKIM bagi memastikan nasib pengusaha penternakan ikan sangkar dibela selari dengan status daerah Kerian sebagai penyumbang terbesar industri ternakan akuakultur di Perak bahkan di negara ini.

"Kita akan minta Jabatan Perikanan melaksanakan kajian tapak dengan kemungkinan kawasan penternakan ikan sangkar dipindahkan dari kawasan satu batu nautika kepada tiga atau empat batu nautika dari pesisiran Pantai Tanjung Piandang.

"Pada masa sama kita turut berharap permohonan pengusaha untuk mengurangkan bayaran lesen tumpangan sementara sangkar ikan laut bernilai RM0.60 bagi setiap meter padu dikurangkan PDT Kerian bagi mengurangkan beban kerugian ditanggung mereka ketika ini," katanya.

Abdul Yunus (kanan) meninjau keadaan di kolam penternakan ikan sangkar di perairan Tanjung Piandang, Parit Buntar sambil diiringi Zaki (tiga dari kiri).
Abdul Yunus (kanan) meninjau keadaan di kolam penternakan ikan sangkar di perairan Tanjung Piandang, Parit Buntar sambil diiringi Zaki (tiga dari kiri).

Abdul Yunus turut menyuarakan kebimbangan kejadian itu akan menjejaskan bekalan ikan di pasaran tempatan dan eksport memandangkan industri itu menyumbang sekurang-kurangnya 1,000 tan metrik ikan setahun.

Sementara itu, wakil pengusaha penternakan ikan sangkar, Ang Yoong Qin, 29, merayu kerajaan menyediakan bantuan pinjaman modal kepada kesemua pengusaha terjejas untuk membina semula industri penternakan akuakultur yang hampir terkubur di Kerian.

Menurutnya, dalam tahun ini sahaja, kesemua pengusaha ternakan ikan sangkar terpaksa menghadapi kejadian sama sebanyak dua kali.

"Dalam kejadian sebelum ini pada Februari lalu, hasil penternakan kami hanya terjejas 10 peratus, namun kejadian kali ini menyebabkan hasil terjejas mencecah 90 peratus dan kesemua ikan mati sudah boleh terjual berasaskan saiz dan usia.

"Anggaran kerugian bagi setiap pengusaha adalah antara RM200,000 hingga RM5 juta dan saya sendiri mengalami kerugian lebih RM5 juta apabila lebih 90 peratus hasil penternakan ikan sangkar mati," katanya.