Hasil mineral jadi tumpuan kerajaan Perak tahun depan

Saarani ketika membentangkan pencapaian setahun pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Khamis.
Saarani ketika membentangkan pencapaian setahun pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Hasil mineral khususnya membabitkan perlombongan lantanid dijangka menjadi antara tumpuan utama kerajaan negeri pada tahun hadapan di bawah pelan Perak Sejahtera 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya sedang menunggu arahan daripada kementerian berkaitan untuk membolehkan aktiviti mengeluarkan mineral dilakukan.

Menurutnya, pada masa sama kerajaan negeri sedang merancang untuk membuka peluang membina lebih banyak kilang memproses mineral tersebut bagi membolehkan peluang pekerjaan diwujudkan.

"Di Perak kita bukan lantanid sahaja tetapi ada mineral lain seperti kaolin dan banyak lagi. Kita dilaporkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains yang tak ada di Perak ini bauksit. Tapi lain-lain mineral kita ada.

"Sebab itu usaha cari gali kita akan lakukan secara berhemah supaya ia tidak merosakkan alam sekitar dan pada waktu yang sama akan menjadi pendapatan kepada negeri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Setahun Perak Sejahtera 2030 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Khamis.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri tidak meletakkan sasaran setiap tahun bagi setiap fokus yang ingin dicapai di dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030.

Menurutnya, ukuran akhir yang mahu dicapai membabitkan lima perkara utama mesti dicapai pada tahun 2030 nanti.

"Ada benda yang tercapai lebih awal. Seperti menyediakan rumah yang mencukupi barang kali boleh dicapai lebih awal. Ada sesetengah itu ia akan berjalan secara berterusan, jadi kita harap orang memahami apa yang kita buat.

"Kita nak pastikan semua itu berada pada landasan yang betul menuju kepada pencapaian lima perkara iaitu sekuriti makanan, peluang pekerjaan, rumah, kesihatan dan juga peluang pendidikan serta pembangunan belia," katanya.

Pada 24 Mei lalu, Saarani mengumumkan kerajaan Perak mula menerima royalti RM1.66 juta hasil perlombongan nadir bumi lantanid di Mukim Kenering, Gerik mulai Februari lalu.

Katanya, hasil tersebut merupakan pengeksportan pertama produk akhir lombong iaitu nadir bumi karbonat (REC) sebanyak 296.2 tan metrik.