Isu balak: SPRM digesa siasat Mukhriz

Laporan portal Malaysiakini pada 27 Ogos lalu. Gambar kecil: Jasnizam Husni
Laporan portal Malaysiakini pada 27 Ogos lalu. Gambar kecil: Jasnizam Husni
A
A
A

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa beliau hanya membantu mendapatkan tanah di Sarawak yang dianugerahkan kepada kawannya pada sekitar 1994.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap, Jasnizam Husni berkata, alasan diberikan Mukhriz bahawa beliau tidak ingat mengenai kejadian yang sudah lama berlaku itu tidak boleh diterima.

"Sekiranya benar berlaku, (kejadian) masih boleh disiasat jika ada bukti. Kenyataan beliau tidak mendapat manfaat besar juga sudah cukup menggambarkan memang kejadian itu berlaku, paling tidak sedikit habuan pasti ada," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Jasnizam merujuk laporan portal Malaysiakini pada 27 Ogos lalu bertajuk 'Balak: Saya hanya bantu kawan, itu cerita lama - Mukhriz' apabila anak Perdana Menteri itu menyifatkan ia sebagai cerita lama dan menjelaskan beliau tidak mendapat manfaat yang besar daripada penganugerahan tanah berkenaan.

Dalam laporan portal itu juga, Mukhriz menjelaskan beliau juga sudah lupa nama syarikat berkenaan.

Portal Sarawak Report pada 19 Ogos melaporkan Mukhriz menerima 1,000 hektar kawasan pembalakan di Sarawak pada 1994.

Jasnizam mendakwa situasi tersebut sebagai 'lucu' apabila membandingkan perkara itu dengan keadaan rakyat pada hari ini yang menerima pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) yang tidak sampai RM90 sebulan.

"Buat masa ini rakyat miskin mendapat bantuan BR1M (BSH) sekitar RM90 sebulan, elaun sara hidup RM200 hingga RM300 sebulan, bantuan musim tengkujuh sekitar RM600 setahun.

Artikel Berkaitan:

"Apalah sangat bantuan RM90 sebulan, setahun dalam RM1,000 ringgit, jika nak dibandingkan dengan pemberian habuan 1,000 hektar balak kepada Mukhriz dan kawan beliau,"dakwanya.