Tumpu hal ekonomi, kurangkan berpolitik: Tok Pa

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR- Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Belanjawan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, mahu tumpuan yang lebih besar diberikan terhadap ekonomi negara di tengah-tengah persekitaran luar yang tidak menentu.

“Kami mahu kerajaan memberi keutamaan tertinggi kepada hal-hal ekonomi,” katanya.

Jawatankuasa itu menghantar cadangan Belanjawan 2020, yang menekankan perbelanjaan dan kecekapan kerajaan, kepada Kementerian Kewangan semalam, katanya kepada pemberita pada Forum Ekonomi Kebangsaan 2019.

“Kami tidak membuat cadangan mengenai cukai kerana kerajaan telah menyatakan bahawa tidak akan ada langkah-langkah percukaian baharu.

“Jadi, kami banyak bincangkan tentang perbelanjaan dan kecekapan,” katanya.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata kerajaan perlu lebih banyak melibatkan diri dengan sektor swasta.

Beliau juga menegaskan kerajaan perlu mengurangkan kegiatan untuk kepentingan politik.

“Kita semua perlu bekerjasama. Saya rasa kita perlu ketepikan perbezaan kita. Mari bersama-sama membina Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, semasa sesi forum bertajuk ‘Memperkenal Hubungan Perniagaan dan Kerajaan’, Mustapa mengajukan soalan kepada peserta: ”Adakah anda dapati terlalu banyak kegiatan untuk kepentingan politik?

Kebanyakan peserta mengangkat tangan tanda bersetuju dengan beliau.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Datuk Soh Thian Lai berkata politik telah menenggelamkan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap usaha untuk meningkatkan pertumbuhan, mempercepat pembaharuan institusi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan industri serta mengukuhkan keyakinan dalam kalangan pelabur tempatan dan antarabangsa.

Thian Lai juga beharap kerajaan memperkenal dasar pelaburan yang lebih jelas bagi menarik pelaburan langsung asing dan tempatan. - Bernama